Ahad, 20 Oktober 2019 | 5:52pm
TENGKU Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin melancarkan buku Panduan Untuk Penjaga Pesakit Kanser dan buku Memahami Kanser: Panduan Untuk Pesakit sambil disaksikan Pengerusi Persatuan Kanser Network Selangor dan Wilayah Persekutuan (KanWork), Dr. Mazanah Muhamad (kanan) dan Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Aini Ideris (kiri) di Majlis Sumbangan Amal KanWork 2019 yang diadakan di Dewan Besar PKKSSAAS, Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang. NSTP/Eizairi Shamsudin

Tengku Permaisuri Selangor lancar buku berkaitan pesakit kanser

SERDANG: Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin hari ini berkenan melancarkan dua buku bertajuk Panduan Untuk Penjaga Pesakit Kanser dan Memahami Kanser: Panduan untuk Pesakit bagi memberi maklumat kepada golongan itu.

Pada masa sama, Tengku Permaisuri Norashikin turut melancarkan Wakaf

Persatuan Kanser NetWork Selangor dan Wilayah Persekutuan (KanWork)

yang berlandaskan konsep wakaf menerusi sumbangan dana bagi membantu pelbagai program membabit pesakit kanser.

Keberangkatan tiba Tengku Permaisuri Selangor diiringi Pengerusi KanWork, Dr Mazanah Muhamad; Isteri Menteri Besar Selangor, Masdiana Muhamad dan Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Datuk Dr Aini Ideris.

Baginda yang juga Penaung Diraja KanWork juga berkenan menerima replika cek bernilai RM49,001 yang disumbangkan daripada pelbagai pihak.

Dr Mazanah berkata, pihaknya mengadakan majlis KanWork Charity Hi Tea bertujuan mengumpul dana bagi membantu penghidap kanser, keluarga dan penjaga pesakit itu.

Katanya, KanWork adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berdaftar yang giat memberi sokongan dari segi emosi dan rohaniah kepada pesakit, selain meningkatkan kesedaran memerangi penyakit itu.

"Antara aktiviti dijalankan adalah mewujudkan kumpulan sokongan yang membuat lawatan ke hospital dan rumah selain menawarkan talian Helpline 1-8000-22-8672,” katanya, hari ini.

Beliau berkata, KanWork ditubuhkan 14 tahun lalu bertujuan memberi maklumat dan sokongan kepada pesakit kanser.

Bagaimanapun, pihaknya menghadapi cabaran utama untuk menjalankan pelbagai aktiviti berikutan dana yang terhad.

“Oleh itu, kami menganjurkan majlis minum petang berkenaan khusus mengumpul dana persatuan untuk kebajikan pesakit kanser.

Beliau berkata, pihaknya juga melaksanakan pelbagai program pendidikan dan meningkatkan kesedaran mengenai pencegahan awal kanser.

Berita Harian X