Khamis, 14 November 2019 | 8:46pm
Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman
Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Kecilkan skop ITBM langkah merugikan

KUALA LUMPUR: Pengecilan skop perniagaan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) termasuk pemberhentian kakitangannya adalah langkah ke belakang yang akan menyebabkan kerugian besar kepada negara.

Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad, berkata ITBM ialah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak berasaskan keuntungan justeru bantuan dalam kaedah munasabah perlu diberikan kerajaan.

Mohamad Saleeh berkata, sebagai GLC bermatlamat untuk tanggungjawab sosial, ITBM tidak boleh dibiarkan bergerak seperti entiti perniagaan sepenuhnya, sebaliknya perlu dibantu.

Beliau berkata, antara cara boleh dilakukan adalah melalui pemberian kontrak buku teks sekolah oleh Kementerian Pendidikan seperti diberikan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

“Pengecilan skop perniagaan ini ibarat kematian dipaksa yang membawa tragedi.

“ITBM sudah sedia memiliki tenaga mahir dan sistem pengurusan mantap perlu dimanfaatkan, bukannya dimatikan,” katanya kepada BH di sini, hari ini.

Semalam Pengurus besar merangkap Pemangku Pengarah Urusan ITBM, Sakri Abdullah, mengesahkan ITBM akan melaksanakan pengecilan operasi sesuai dengan usaha bagi mengembalikan fungsi asal agensi itu.

Mohamad Saleeh berkata, DBP secara bersendirian tidak mampu mengisi keperluan negara dalam bidang perbukuan, apatah lagi untuk membangunkan penulis disebabkan kaedah penerbitan dan pemasarannya yang ketat.

ITBM pula menurut Mohamad Saleeh lebih bebas menentukan kaedah penerbitan dan pemasaran yang fleksibel, malah peranannya sebagai penerbit buku asli membantu matlamat menerbitkan 32,000 judul setahun walaupun jumlah itu juga masih tidak mencukupi.

“Mujurlah ITBM memiliki stok buku lama untuk dijual hasil daripada penerbitan sebelum ini dan tidak tidak hanya bergantung kepada buku terjemahan.

“Ini membuktikan fungsi ITBM sebagai penerbit buku asli boleh menyelamatkan institusi itu.

“Sekiranya mereka tidak memiliki aset buku untuk dijual tentu saja masalah mereka lebih parah,” katanya.

Berita Harian X