Sabtu, 30 November 2019 | 6:18pm
Salahuddin menyampaikan replika cek sumbangan tabung bencana kepada wakil pertubuhan peladang pada majlis Perhimpunan Pemimpin Peladang Zon Selatan pada Ekspo Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2019, di Johor Bahru, hari ini. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Salahuddin menyampaikan replika cek sumbangan tabung bencana kepada wakil pertubuhan peladang pada majlis Perhimpunan Pemimpin Peladang Zon Selatan pada Ekspo Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2019, di Johor Bahru, hari ini. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

RM12.38 juta diagih kepada 7,400 penanam padi terjejas

JOHOR BAHRU: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) mengagihkan sebanyak RM12.38 juta kepada 7,400 penanam padi yang terjejas di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata ia adalah menerusi peruntukan Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) yang diwujudkan kerajaan bagi membantu penanam padi terjejas akibat pelbagai faktor termasuk bencana alam dan penyakit padi.

“TBTP juga diwujudkan sebagai bantuan kepada petani yang mengalami pengeluaran padi luar jangka kesan bencana alam termasuk banjir, kemarau serta taufan Lekima mahu pun serangan penyakit.

“Ia juga diwujudkan sebagai bantuan sokongan kepada golongan sasar hasil inisiatif MOA ke arah mewujudkan program ‘touch-point’ khusus kepada pesawah padi.

“Hari ini kita mengagihkan dana menerusi TBTP berjumlah RM12.38 juta bagi tahun 2019 membabitkan tujuh negeri selain dua lembaga kemajuan pertanian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Perhimpunan Pemimpin Peladang Zon Selatan pada Ekspo Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2019, di sini, hari ini.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA)dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menerima peruntukan bantuan khas terbesar iaitu masing-masing RM5.21 juta dan RM3.36 juta.

“Ia diikuti oleh Pulau Pinang (RM2.19 juta), Kedah (RM1.23 juta), Kelantan (RM289,334), Perlis (RM188,873) dan Terengganu (RM92,235).

“Turut menerima dana berkenaan adalah Sabah (RM77,793) dan Pahang (RM22,627),” katanya.

Berita Harian X