Sabtu, 22 Februari 2020 | 1:18pm

KWSP umum dividen 5.45 peratus bagi Simpanan Konvensional, 5.0 peratus Simpanan Shariah

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan dividen 5.45 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 5.0 peratus bagi Simpanan Shariah untuk tahun kewangan 2019.

KWSP dalam kenyataannya berkata, pembayaran dividen bagi Simpanan Konvensional adalah RM41.68 bilion, manakala bagi Simpanan Shariah 2019 adalah RM4.14 bilion.

KWSP pada tahun lalu mengumumkan kadar dividen 6.15 peratus untuk Simpanan Konvensional 2018, dengan agihan dividen sebanyak RM43 bilion dan 5.9 peratus untuk Simpanan Shariah, dengan agihan dividen RM4.32 bilion.

Angka itu menurun sedikit berbanding kadar pada 2017 yang mana untuk konvensional ialah 6.9 peratus, manakala syariah sebanyak 6.4 peratus.

Kira-kira 55 peratus pendapatan KWSP adalah daripada pelaburan dalam ekuiti yang menyumbang RM29.28 bilion atau 57.6 peratus daripada keseluruhan pendapatannya pada 2018.

Ketua Pegawai KWSP, Alizakri Alias, berkata prestasi kukuh bagi 2019 disumbangkan oleh operasi dan kewangan, sekali gus membolehkannya memberikan 2.95 peratus melebihi kadar dimandatkan mengikut Akta KWSP 1991, yang memerlukan pengisytiharan dividen nominal sekurang-kurangnya 2.5 peratus setiap tahun.

Beliau berkata, selain itu, dividen purata tiga tahun KWSP untuk Simpanan Konvensional selepas penyelarasan inflasi adalah 4.33 peratus iaitu 2.33 peratus melebihi sasaran tiga tahun KWSP sebanyak dua peratus.

“Perbezaan dividen Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah disebabkan pilihan jumlah aset patuh syariah tidak seluas pilihan untuk konvensional,” katanya dalam kenyataan dilapor BERNAMA, semalam.

Alizakri berkata, majoriti pelaburan Simpanan Shariah adalah dalam pasaran domestik yang menunjukkan prestasi kurang memberangsangkan pada 2019.

Beliau berkata, jumlah aset keseluruhan KWSP meningkat kepada RM924.75 bilion, selain merekodkan pertumbuhan ahli sebanyak 2.8 peratus kepada 14.6 juta ahli, manakala jumlah majikan berdaftar pula bertambah tiga peratus kepada 522,300 majikan.

Pada tahun sama, katanya, KWSP mencatatkan peningkatan 24.6 peratus bagi pelanggan i-Akaun menjadikan jumlah 7.6 juta pelanggan, selain 2019 menyaksikan KWSP meningkatkan pelbagai penambahbaikan kepada ahlinya.

“KWSP melancarkan i-Invest pada Ogos 2019 yang membantu ahli membuat keputusan bermaklumat dalam pelaburan unit amanah, yang menyaksikan lebih 10,000 ahli membuat transaksi bernilai RM81.8 juta.

“Bilangan ahli menggunakan Khidmat Nasihat Persaraan juga terus berkembang sejak penubuhannya pada 2014 dan memberi manfaat kepada lebih 83,000 ahli.

“Selain itu, jumlah pendaftaran i-Saraan meningkat kepada 137,000, manakala pendaftaran untuk i-Suri bertambah kepada 88,500, menandakan pertumbuhan kukuh bagi kedua-dua produk,” katanya.

Alizakri berkata, seperti dijangka, berlaku turun naik yang ketara pada 2019 berbanding 2018, malah tempoh 2019 mencerminkan realiti hidup dunia yang tidak menentu, ketidakpastian, kompleks dan kabur.

“Pelbagai isu di pasaran global masih belum selesai, malah ada beberapa isu baharu timbul. Terdapat tiga kali potongan kadar faedah dibuat Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS), perang dagangan AS-China yang berterusan dan masih belum menunjukkan jalan penyelesaian serta ketidakpastian sekitar perundingan Brexit,” katanya.

Beliau berkata, KWSP tidak menjangka rusuhan di Hong Kong berlarutan dan terus menambahkan tekanan ke atas pasaran timur jauh.

“Pasaran domestik juga mengalami kesukaran untuk menyokong keupayaan penjanaan pendapatan KWSP yang mana 70 peratus aset KWSP adalah dalam Malaysia, sebahagian besarnya dalam ekuiti domestik.

“Bagaimanapun, Alokasi Aset Strategik dan struktur membuat keputusan kami menyediakan suatu sistem menyeluruh yang menjadi panduan serta perlindungan daripada ketidaktentuan dan suasana yang mencabar,” katanya.

Alizakri berkata, pencapaian ini hasil strategi kepelbagaian jangka panjang yang membolehkan KWSP melakukan yang terbaik walaupun dalam keadaan sukar.

“KWSP sentiasa berpendapat pegangan luar negara asas dan penting dalam keseluruhan portfolio kami, malah kami akan meneruskan diversifikasi bagi mengurangkan risiko penumpuan,” katanya.

Berita Harian X