Rabu, 4 March 2020 | 6:21pm

Malaysia alami gelombang kedua COVID-19

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengesahkan, seramai 14 lagi kes dikesan positif COVID-19 dan kesemua mereka dikenal pasti sebagai kontak rapat dengan kes ke-26, ketika negara kini berdepan gelombang kedua coronavirus terbabit.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata keadaan itu menjadikan jumlah keseluruhan positif COVID-19 sehingga hari ini, adalah sebanyak 50 kes dan 22 daripadanya sudah dibenarkan pulang.

Beliau berkata, negara kini sudah memasuki gelombang kedua COVID-19 bermula 27 Februari lalu selepas 11 hari tidak mempunyai kes baharu.

“Seperti mana dimaklumkan sebelum ini, gelombang pertama jangkitan COVID-19 di negara ini merangkumi 22 kes.

“Bagi gelombang kedua, ada satu kluster COVID-19 yang dikenal pasti dan ia membabitkan kes ke-26. Berdasarkan siasatan dan pengesanan kontak yang dijalankan sehingga kini, terdapat 215 kontak rapat yang dikesan.

“Daripada jumlah kontak rapat berkenaan, 16 kes adalah positif, 19 negatif dan 180 individu masih menunggu keputusan,” katanya dalam sidang media yang diadakan di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, berdasarkan maklumat terkini yang diperoleh, kesemua individu yang dijangkiti COVID-19 itu dijangkiti semasa menghadiri beberapa majlis yang turut disertai kes ke-26.

“Seorang individu adalah pegawai kepada kes ke-26, 15 individu lagi menghadiri lebih dari satu aktiviti bersama dengan kes ke-26.

“Proses mengesan kontak rapat masih berjalan dan kita kena pastikan kedua-dua generasi disebabkan oleh kes 26 dapat diatasi,” katanya.

Ketika ditanya sama ada kes-26 itu adalah penyebar utama kepada pertambahan kes positif di negara ini, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya tidak boleh mengklasifikasikan hal berkenaan.

“Tidak boleh panggil ia sebagai penyebar utama lagi sebab jika di Korea Selatan kes ke-31 di sana sudah menjangkiti lebih daripada seribu pesakit.

“Di negara ini, cuma 16 kes positif dilaporkan dan disahkan oleh kes 26. Saya boleh katakan ini agak luar biasa berbanding kes lain tetapi kita sedang jejaki kontak lain dan asingkan kes 26,” katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media mengenai Penyakit Covid-19 di Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media mengenai Penyakit Covid-19 di Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X