Isnin, 23 March 2020 | 1:58pm
KERAJAAN bersetuju mengagihkan topeng muka kepada rakyat secara percuma. - Foto hiasan
KERAJAAN bersetuju mengagihkan topeng muka kepada rakyat secara percuma. - Foto hiasan

COVID-19: Orang ramai dapat topeng percuma

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan bersetuju mengagihkan topeng muka kepada rakyat secara percuma.

Perdana Menteri berkata, pengagihan topeng itu adalah antara sumbangan kerajaan kepada rakyat dalam menghadapi krisis COVID-19.

"Kerajaan mengambil keputusan mengimport topeng muka dari China iaitu kira-kira 10 juta keping. Semalam, saya sudah mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) supaya menggunakan peruntukan disediakan kerajaan untuk membawa masuk bekalan itu.

"Saya difahamkan, harga sekeping adalah RM1.18 dan saya ingin mengumumkan topeng terbabit akan diagihkan secara percuma kepada rakyat selepas bekalan (topeng) diterima," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Muhyiddin berkata, pada mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam, beliau juga sudah meminta Menteri Kanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk berbincang dengan pihak pengeluar supaya harga kawalan yang ditetapkan sebelum ini diteliti agar ia tidak terlalu tinggi.

Katanya, beliau juga berharap dalam situasi krisis kesihatan ketika ini, pengeluar topeng muka dapat memastikan bekalan mencukupi dan dijual pada harga yang berpatutan.

"Saya sudah mengeluarkan arahan dan berharap pengusaha kilang bersetuju. Yang kedua, kerajaan sudah meminta kilang tempatan, ada empat atau lima pengeluar dalam negara, untuk terus membekalkan topeng muka dengan mencukupi.

"Saya difahamkan, mereka masih berhadapan masalah untuk mendapatkan bekalan bahan mentah untuk menghasilkan topeng yang sebahagian besarnya diimport tetapi kita berharap mereka dapat menyelesaikan perkara ini.

"Kapasiti pengeluaran topeng dalam negara, saya dimaklumkan antara dua juta hingga tiga juta keping setiap bulan dan jika ia boleh diteruskan, saya percaya ia lebih daripada mencukupi serta Kastam sudah memutuskan supaya eksport topeng muka tidak dibenarkan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin berkata, kerajaan akan meneliti perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini dan akan memantau pelaksanaannya, sebelum membuat keputusan sama ada untuk melanjutkan atau sebaliknya.

Beliau berkata, MKN akan bersidang sebelum tempoh PKP sedia ada tamat pada 31 Mac ini, sama ada akan melanjutkan perintah berkenaan kepada seminggu atau dua minggu lagi atau sebaliknya.

"Kalau dah ada penambahbaikan dengan tindakan yang diambil oleh Kementerian Kesihatan, dibantu oleh agensi lain dan semua pihak termasuk jemaah tabligh yang tak keluar lagi itu (untuk menjalani saringan), berkemungkinan besar PKP ini menunjukkan kesan positif.

"Kalau data yang kita tengok lebih rendah daripada hari ini, kita akan pantau, tapi sebelum tamat tempoh, MKN akan bersidang untuk buat keputusan (sama ada) untuk tambah seminggu atau dua minggu. Kita akan kaji dan maklumkan," katanya.

Muhyiddin berkata, berdasarkan kepada laporan yang diterimanya membabitkan pelaksanaan PKP setakat ini, keadaan semakin baik dan pematuhan pada kadar 90 peratus.

Pun begitu, katanya, kerajaan mahukan pematuhan sehingga 100 peratus atau sekurang-kurangkan pergerakan dikurangkan pada paras paling minimum dan hanya keluar untuk membeli keperluan seharian dan ubatan sebelum pulang terus ke rumah masing-masing.

"Sekali lagi saya nak merayu... stay at home sudah menjadi tagline, tetapi ini memang penting untuk kita amalkan," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X