Isnin, 4 Mei 2020 | 9:50am
TINJAUAN keadaan lalulintas yang agak sesak pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sekitar Jalan Kuching. - Foto Eizairi Shamsudin
TINJAUAN keadaan lalulintas yang agak sesak pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sekitar Jalan Kuching. - Foto Eizairi Shamsudin

Polis tingkatkan penguatkuasaan pematuhan penjarakan sosial

SHAH ALAM: Sekatan jalan raya (SJR) di sekitar Shah Alam, Klang Selatan, Klang Utara dan Kuala Langat dikurangkan bermula hari ini dengan pihak berkuasa meningkatkan penguatkuasaan terhadap pematuhan penjarakan sosial.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, berkata lokasi SJR yang kekal beroperasi 24 jam setiap hari adalah Seksyen 7 dan Seksyen 26.

"SJR Mobile pula tertumpu pada lewat malam hingga pagi iaitu 10 malam hingga 2 pagi dan 11 malam hingga 3 pagi. Ini membabitkan empat balai polis iaitu Seksyen 6, Seksyen 9, Seri Muda serta Bukit Jelutong.

"Selain itu, lapan pasukan pemantau meneruskan rondaan dan pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di lapangan dan mengambil tindakan aduan awam seperti biasa membabitkan kereta Peronda polis (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB).

"Penugasan statik di tempat tumpuan seperti perhentian bas dan pasar raya diteruskan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman, berkata mulai hari ini dua SJR kekal beroperasi di kawasan terbabit iaitu SJR Banting dan Batu 7 Sijangkang.

"Tiga lagi SJR iaitu Sri Cheeding, berhampiran Tol SKVE dan Jalan Kebun ditutup di mana SJR ini akan berubah kepada penugasan pemantauan dan snap check selain pemantauan dan kawalan di kawasan tumpuan orang ramai dan kawasan industri.

"Ini bagi memastikan orang ramai patuh arahan dan mengamalkan konsep penjarakan sosial, kita juga akan buat penugasan di kawasan dikenal pasti menjadi laluan pendatang asing tanpa izin (PATI) khususnya sepanjang jalan pantai dari Tanjung Sepat ke Pulau Carey," katanya.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, pula berkata hanya satu SJR kekal di daerah itu iaitu Jalan Langat (Banting ke Klang).

"Polis Klang Selatan meneruskan SJR bergerak snap check yang membabitkan lapan lokasi, pasukan penguatkuasaan bagi rondaan dan pemantauan juga diteruskan. Pasukan MPV dan URB juga membuat rondaan 24 jam seperti biasa," katanya ketika dihubungi.

Bagi Klang Utara, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh, berkata hanya dua dari empat SJR dikekalkan bermula hari ini iaitu SJR Batu 3 Jalan Kapar dan Batu 10 Jalan Kapar.

Pada 1 Mei lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengumumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengurangkan sekatan jalan raya dan menumpukan kepada pematuhan penjarakan sosial selepas kerajaan mengumumkan PKPB bermula hari ini.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X