Khamis, 7 Mei 2020 | 4:26pm
Pengusaha Hidayah Cookies, Sarimah Jantan bersama roti yang baru dibungkus untuk dijual, di Hidayah Cookies, Sungai Kandis. - Foto Osman Adnan
Pengusaha Hidayah Cookies, Sarimah Jantan bersama roti yang baru dibungkus untuk dijual, di Hidayah Cookies, Sungai Kandis. - Foto Osman Adnan

COVID-19: Undang-undang khas sementara perlu segera digubal lindungi perniagaan

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mewujudkan undang-undang khas bersifat sementara bagi melindungi perniagaan di negara ini yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19.

Pakar undang-undang, Prof Datuk Dr Salleh Buang, berkata beberapa negara sudah pun melaksanakan undang-undang dan peraturan berkaitan, yang melindungi perniagaan supaya tidak dikenakan tindakan undang-undang jika gagal memenuhi perjanjian perniagaan.

Beliau memaklumkan, Singapura sudah pun melaksanakannya selepas meluluskan Akta COVID-19 (Langkah-Langkah Sementara) 2020 bagi memberi "perlindungan segera buat sementara waktu" kepada entiti perniagaan di negara itu yang terjejas akibat wabak berkenaan.

Selain itu, katanya, China pula walaupun tidak menggubal undang-undang berkenaan, namun mengeluarkan sijil 'force majeure' (FMC) yang merujuk kepada "satu kejadian di luar kawalan, tidak boleh diramalkan dan sama sekali tidak boleh dielakkan", yang diberi kepada syarikat pengeksport yang tidak berupaya melaksanakan kewajipan kontraktual kepada syarikat pembeli di negara asing, dan mungkin disaman akibat melanggar kontrak.

Di Perancis katanya, kerajaan negara itu tidak mengenakan penalti kepada syarikat yang sudah mendapat kontrak perolehan dengan kerajaan, namun gagal atau lambat melaksanakan kontrak, manakala Amerika Syarikat (AS) melaksanakan Akta CARES yang disifatkan sangat komprehensif dalam memberi perlindungan kepada entiti perniagaan dan pertubuhan dalam bentuk pinjaman, kredit cukai, penangguhan cukai, potongan cukai dan sebagainya.

"Banyak pihak sudah membuat cadangan supaya kerajaan mewujudkan akta ini, antaranya Majlis Peguam dan beberapa pengamal undang-undang termasuk saya sendiri. Jika dibandingkan dengan negara lain, Malaysia nampaknya tertinggal jauh di belakang.

"Soalnya, jika Parlimen hanya bersidang sehari saja pada 18 Mei ini, adakah cukup masa untuk kita membentangkan satu rang undang-undang baharu untuk menyelamatkan atau melindungi entiti perniagaan kita yang terkesan?" katanya kepada BH, hari ini.

Sebelum ini, gabungan 12 persatuan perniagaan menggesa kerajaan melaksanakan undang-undang sementara bagi melindungi pemilik perniagaan daripada tindakan undang-undang selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan.

Gabungan itu berharap rang undang-undang mengenainya dapat disegerakan melalui sidang Parlimen pada 18 Mei ini ini.

Ditanya sama ada undang-undang sedia ada boleh melindungi perniagaan yang terkesan, Salleh menjelaskan, syarikat boleh cuba menggunakan doktrin kekecewaan (doctrine of frustration) sebagai satu pembelaan, namun terserah kepada mahkamah selepas mengambil kira fakta kes.

Seksyen 57(2) Akta Kontrak menyatakan kekecewaan berlaku apabila sesuatu kontrak itu mustahil untuk dilakukan disebabkan sesuatu kejadian di mana pembuat janji tidak dapat mencegah, menjadi tidak sah.

"Selain itu, bolehkah syarikat mengemukakan 'force majeure' sebagai pembelaan kerana Malaysia belum mengisytiharkan wabak itu sebagai 'force majeure' seperti Itali dan mengeluarkan sijil 'force majeure' seperti China?.

"Berpandukan kes mahkamah, satu fasal atau peruntukan khas mengenai 'force majeure' mesti diwujudkan dalam dokumen kontrak sewaktu pihak ini menandatangani kontrak mereka," katanya.

Salleh menjelaskan, jika syarikat gagal melindungi diri menggunakan fasal 'force majeure' atau pembelaan doktrin kekecewaan, syarikat berkenaan boleh diheret ke mahkamah pada bila-bila masa, melainkan ada di Malaysia mempunyai undang-undang seperti di Singapura yang memberi perlindungan sementara kepada mereka.

"Perlindungan ini hanya sementara saja dan ia sama sekali tidak menyentuh persoalan sama ada syarikat itu nanti akan kalah atau menang di mahkamah. Kalah menang terserah kepada mahkamah menentukan berasaskan fakta dan keterangan," katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Penyelidikan Risiko Ekonomi & Politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, berpendapat terdapat 'kelompangan' daripada segi pelaksanaan dasar bagi sektor ekonomi yang terkesan akibat COVID-19, berikutan ketidakselarasan antara kerajaan Persekutuan dan negeri.

Sebagai contoh katanya, apabila kerajaan negeri mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membolehkan sektor ekonomi dibuka, namun tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) tertentu, terdapat kerajaan negeri yang enggan melaksanakan undang-undang baharu itu.

"Ini memberikan masalah kepada peniaga kerana mereka ingin mendapatkan faedah daripada program dan pakej rangsangan yang diumumkan kerajaan sebelum ini.

"Memang ada dimaklumkan sebelum ini bahawa peniaga boleh menyaman kerajaan negeri jika mereka enggan membuka sektor ekonomi kerana masih mahu melaksanakan PKP tetapi bagaimana pula dengan perindustrian kecil dan sederhana (PKS)? Ia akan menambah beban kewangan kepada mereka, justeru pelaksanaan perlu jelas dan tidak mengelirukan mereka," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X