Khamis, 14 Mei 2020 | 9:19pm
Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media berhubung situasi semasa jangkitan COVID-19 di Putrajaya. - Foto NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media berhubung situasi semasa jangkitan COVID-19 di Putrajaya. - Foto NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

COVID-19: 5 pelajar universiti dikesan positif

Putrajaya: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan kluster dalam kalangan pelajar di dua institusi pengajian tinggi (IPT) membabitkan lima pelajar.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata dua pelajar adalah dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan tiga lagi pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS).

KKM mengesyaki pelajar terbabit terdedah kepada pekerja yang keluar masuk di kampus atau di kafe universiti. Semua pelajar IPT yang diasingkan selama empat minggu hanya menjalani saringan kesihatan dan bukan ujian pengesanan COVID-19, kecuali menunjukkan gejala.

"Mereka diasingkan empat minggu dan kalau tidak bercampur dengan orang luar, ia seolah-olah dikuarantin.

"Kita ada lima kes iaitu dua pelajar UPSI pulang ke kampung dan ada gejala sebelum ujian calitan mendapati mereka positif COVID-19.

"Pelajar di kampus masih dikawal dan diasingkan manakala ujian calitan dijalankan, besar kemungkinan mereka terdedah kepada pekerja yang keluar masuk.

"Di UMS, tiga pelajar positif dan kita menjalankan pengesanan kontak dalam kalangan pelajar di kampus itu manakala siasatan sedang dijalankan. Kita percaya mereka terdedah di kafe," katanya pada sidang media harian COVID-19, hari ini.

Pada 11 Mei lalu Sabah mencatat peningkatan mendadak kes baharu positif COVID-19 dengan 10 kes dan dua daripadanya adalah pelajar universiti yang tiba dari Semenanjung.

Dalam perkembangan berkaitan, penuntut UPSI dilarang pulang ke kampung halaman atau rumah masing-masing, bagi membolehkan kerajaan melaksanakan saringan COVID-19 ke atas mereka.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata proses saringan perlu dilaksanakan susulan dua penuntut yang pulang ke Sabah didapati positif COVID-19.

"Kita beranggapan selepas mereka berada di universiti dan tidak keluar, tiada jangkitan. Mereka sudah melalui tempoh inkubasi selama dua bulan. Setiap tempoh inkubasi adalah dua minggu dan sepatutnya tiada jangkitan.

"Bagaimanapun, ada lagi yang tiba-tiba positif COVID-19, maka di UPSI kita hentikan dulu (penghantaran pulang) untuk buat saringan sebelum dibenarkan pulang," katanya.

Di Muallim, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak mengesahkan pelajar terbabit dihantar pulang pada 6 Mei lalu dan disaring pada hari sama.

Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming, berkata mereka didapati positif pada 11 Mei.

Berikutan itu, katanya, PKD Muallim menghubungi pihak pengurusan UPSI untuk melakukan siasatan kes dan saringan kontak rapat kes positif bagi menentukan punca jangkitan serta tahap penularan dalam kalangan warga UPSI.

"Ini adalah sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) pengendalian jangkitan COVID-19," katanya.

Setakat jam 8 pagi semalam, katanya, sejumlah 92 sampel ujian makmal COVID-19 diambil daripada kontak rapat kedua-dua kes membabitkan rakan pelajar, pihak pengurusan dan kakitangan UPSI.

Lima sampel didapati negatif COVID-19 setakat ini manakala keputusan ujian bagi sampel selebihnya belum diperoleh.

Berita Harian X