Khamis, 21 March 2019 | 12:42pm

3,311 pelajar tercicir di Selangor

KLANG: Jabatan Pendidikan Selangor merekodkan 3,311 pelajar di negeri ini tercicir persekolahan setakat ini.

Pengarahnya, Mohd Salleh Mohd Kassim, berkata daripada jumlah itu, daerah Petaling Perdana mencatatkan jumlah tertinggi, diikuti Klang, Hulu Langat, Gombak dan Kuala Selangor.

“Pelbagai faktor dikenal pasti yang menjadi punca masalah keciciran pelajar, antaranya masalah keluarga, kesihatan, ada bekerja untuk menyara hidup serta masalah pengangkutan kerana lokasi sekolah yang jauh.

“Begitu juga murid tanpa dokumen, terbabit dengan pengaruh dadah, malah dibuang sekolah menjadi faktor keciciran.

“Biasanya peratus yang besar dan ketara yang terbabit dengan masalah keciciran persekolahan ini ialah pelajar di sekolah menengah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Sifar Murid Cicir Negeri Selangor di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Klang, di sini, hari ini.

Mohd Salleh berkata, jabatan itu menyasarkan 60 peratus atau 1,987 murid akan kembali ke sekolah melalui Program Sifar Murid Cicir dalam tempoh satu tahun.

“Daripada jumlah itu, kita sasarkan penunjuk prestasi utama (KPI) kehadiran pelajar yang tercicir itu dalam kadar yang lebih 90 peratus apabila mereka kembali bersekolah nanti.

“Bagi murid sekolah rendah, kita sasarkan KPI kehadiran dengan 93 peratus, manakala bagi pelajar sekolah menengah, sasaran KPI kehadiran ialah 90 peratus,” katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh Januari dan Februari 2019, kesan positif yang ketara ditunjukkan dengan penurunan bilangan keciciran murid.

“Ramai sudah kita bawa masuk kembali ke sekolah. Contohnya tadi seramai tujuh murid, enam sekolah rendah dan seorang sekolah menengah.

“Itu kerjasama yang cukup baik, terutamanya masyarakat setempat melaporkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah, kemudian ke Jabatan Pendidikan Selangor, juga lapor kepada Lembaga Zakat Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat

“Kita harap banyak kes begini dijumpai, seterusnya menempatkan mereka semula ke sekolah yang sepatutnya mereka hadiri,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai usaha dijalankan bagi membendung dan mengurangkan masalah keciciran pelajar menerusi Program Sifar Murid Cicir.

“Program ini sudah dan akan terus digerakkan secara berkesan melalui intervensi berfokus dan permuafakatan dengan pembabitan pelbagai agensi, organisasi dan pemimpin setempat.

“Program ini merangkumi tiga subJawatankuasa utama, iaitu Jawatankuasa Penyiasatan Murid Cicir, Jawatankuasa Peningkatan Enrolmen Pendidikan Menengah dan Jawatankuasa Pengurusan Murid Berisiko Cicir,” katanya.

MOHD Salleh (dua dari kanan) beramah mesra bersama murid yang menerima surat penempatan pada Majlis Perasmian Program Sifar Murid Cicir Negeri Selangor di Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi, Klang. - Foto Faiz Anuar
Berita Harian X