Rabu, 23 Ogos 2017 | 1:01pm
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. - Foto NSTP/Zulfadhli Zulkifli

Nafi 'Amanat Haji Hadi' punca peristiwa Memali

KUALA LUMPUR: PAS terbuka terhadap cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat tragedi Memali walaupun selepas Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14).

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata ia terserah kepada pihak berkuasa kerana yang penting bagi PAS ialah isu itu dilihat lebih adil.

"Kita tidak menuduh sesiapa kerana kita minta ia disiasat. RCI ini badan penyiasat, bukan kita nak salahkan mana-mana pihak hatta Tun (Dr Mahathir Mohamad) sekali pun.

"Bagi PAS, kita harus berlaku adil, kalau kita perjuangkan prinsip keadilan, kita tidak perlu rasa curiga dengan RCI. Sepatutnya kita pandang RCI sebagai badan yang bertindak menegakkan prinsip keadilan," katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Beliau diminta mengulas cadangan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam,

supaya RCI Memali yang dibuat selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14 supaya ia tidak dijadikan bahan politik atau memancing undi oleh mana-mana pihak.

Mengenai dakwaan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor, punca peristiwa itu ialah kerana pengaruh 'Amanat Haji Hadi' yang merujuk kepada ucapan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pada 1981, Tuan Ibrahim menafikannya.

"Bagi saya pandangan ini tidak betul kerana kalau pengaruh amanat Hadi, mengapa ia tidak berlaku di seluruh negara dan kenapa berlaku di situ (Memali) sahaja.

"Malah apa yang berlaku, dia (Ibrahim Libya) bukan menyerang polis atau mana-mana tempat, dia hanya mempertahankan diri daripada serangan.

"Jika kata dia (Ibrahim Libya) terpengaruh (dengan amanat), kalau dia yang serang mungkin boleh kata begitu. Tetapi masalahnya polis yang serang, pasukan keselamatan yang pergi serbu, tembak dengan meriam, kereta perisai dan sebagainya.

"Dia (Ibrahim) hanya mempertahankan diri, jadi saya rasa tidak adil untuk kita buat tuduhan dia terpengaruh kerana bukan dia yang menyerang," katanya.

Berita Harian X