Selasa, 18 Disember 2018 | 10:53pm
DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dan Datuk Seri Mohamad Hassan. - Foto NSTP

Mohamad diberi kepercayaan jalankan tugas Presiden UMNO

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan diberi kepercayaan menjalankan tugas Presiden parti itu berkuat kuasa serta merta.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata keputusan itu dibuat bagi mengelak lebih ramai pemimpin dan ahli UMNO keluar daripada parti itu.

“Saya merasai keresahan segelintir pimpinan UMNO kerana khuatir mereka akan menerima tekanan, siasatan dan tuduhan seperti yang saya alami.

“Demi keutuhan UMNO dan kepentingan pimpinan di semua peringkat terutama Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Bahagian UMNO, langkah menyelamatkan situasi terbabit harus dilakukan segera.

“Berdasarkan kepada kemelut yang dihadapi oleh parti hari ini dan sebagai jalan tengah, saya mengambil keputusan untuk memberikan kepada Timbalan Presiden untuk menjalankan tugas sebagai Presiden,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Wacana U3.0 anjuran Penerangan UMNO di Menara Dato Onn di sini, malam ini.

Program yang turut disiarkan secara langsung menerusi media sosial Facebook Live itu dikendalikan oleh Datuk Dr Noor Azizan Abdul Majid sebagai moderator.

Ketika ditemui selepas program terbabit, Ahmad Zahid berkata, keputusan yang diambilnya itu bukan atas desakan mana-mana pihak.

“Jika benar saya menjadi punca utamanya, maka keputusan yang saya lakukan adalah kaedah terbaik untuk saya berikan kepercayaan kepada Datuk Seri Mohamad Hassan bagi jalankan tugas Presiden.

“Dan ini tentunya sesuai dengan semangat dalam Perlembagaan UMNO sendiri bahawa jika Presiden tidak mendapat hidayah maka kaedah terbaik memberikan kepercayaan kepada Timbalan Presiden untuk menjalankan tugas Presiden,” katanya.

Beliau berkata, Mohamad kini memiliki kuasa penuh Presiden untuk bersama dengan Naib Presiden, Ahli Majlis Tertinggi (MT) dan ketua sayap serta pimpinan di semua peringkat untuk memulihkan UMNO sebagai parti politik terbesar orang Melayu.

“Saya sudah memaklumkan kepada beliau (Mohamad) dan dua Naib Presiden mengenai keputusan ini.

“Mohamad akan menjalankan tugas Presiden sehingga beliau tidak sanggup lagi memikul tanggungjawab itu atau sehingga beliau yakin saya boleh meneruskan semula tugas itu,” katanya.

Berita Harian X