Isnin, 25 November 2019 | 1:48pm
PENGARAH Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
PENGARAH Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Jika hadir mesyuarat, beliau akan tahu punca sebenar mereka dipecat - Ahmad Fahmi

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin diingatkan supaya sentiasa menghadiri mesyuarat parti itu sebelum membuat kenyataan semberono berhubung pemecatan dua anggota parti itu, semalam.

Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, menyifatkan Zuraida sebagai tidak faham punca sebenar pemecatan ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Zakaria Abdul Hamid dan seorang lagi ahli biasa, Ismail Dulhadi.

Beliau menjelaskan, Zuraida akan faham tindakan yang terpaksa diambil terhadap dua individu itu jika tidak culas daripada menghadiri mesyuarat parti.

“Saya rasa kalau beliau hadir mesyuarat Biro Politik dan mesyuarat MPP semalam, maklumat penuh disampaikan kepada kami. Ia cukup jelas kenapa tindakan (pecat) itu diambil.

“Jadi saya tegaskan sekali lagi, semua pimpinan lain hendaklah peringatkan diri sendiri untuk sentiasa hadir mesyuarat. Gunakan platform pertemuan parti untuk bincangkan perkara ini, bukannya keluarkan kenyataan dalam media.

“Bagi saya itu (membuat kenyataan media) tidak menyelesaikan masalah dan hanya akan merumitkan keadaan. Platform terbaik adalah dengan beliau hadir mesyuarat, saya tegaskan sekali lagi,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kassim semalam mengesahkan Zakaria yang juga Ketua Cabang PKR Bera dan Ismail dipecat serta-merta selepas didapati terbabit dalam isu rasuah ketika pemilihan parti itu tahun lalu.

Ahmad menjelaskan, pemecatan dua individu terbabit dibuat berdasarkan bukti kukuh dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada parti itu.

Mengulas lanjut, Ahmad Fahmi, berkata semua pimpinan parti yang hadir mesyuarat MPP semalam diberi maklumat penuh berhubung siasatan SPRM terhadap Zakaria dan Ismail.

Zuraida dalam satu kenyataan sebelum ini mengecam pemecatan dua anggota parti itu selain menyifatkan tindakan yang diambil sebagai pilih bulu kerana hanya membabitkan individu yang dilihat berpihak kepada pemimpin tertentu dalam PKR.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X