X
Isnin, 16 March 2020 | 6:53pm
Tan Sri Annuar Musa. - Foto FATHIL ASRI
Tan Sri Annuar Musa. - Foto FATHIL ASRI

Annuar Musa dilantik Setiausaha Agung BN

KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dilantik sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) menggantikan penyandang, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata pelantikan bekas Setiausaha Agung UMNO itu menerusi rombakan struktur kepemimpinan dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN.

“Datuk Sahfri Ab Aziz dilantik sebagai Setiausaha Eksekutif BN, menggantikan penyandang, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad. Tengku Adnan kekal sebagai Bendahari BN,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, berkata BN mengambil berat keadaan negara dan rakyat yang dilihat semakin terkesan akibat penularan COVID-19.

“Semua pihak dinasihatkan supaya sentiasa peka dan mengikuti perkembangan mengenai virus ini melalui saluran sah.

“BN juga berharap rakyat tidak panik, tetapi perlu mengambil langkah berjaga-jaga, selain tidak mudah percaya kepada berita palsu yang semakin kerap ditularkan di internet,” katanya.

Berita Harian X