Jumaat, 15 Disember 2017 | 5:00pm
DATUK Mohd Nizar Datuk Seri Mohd Najib (kiri) melawat bengkel roti milik Muhd Luqman Shamsudin (dua dari kiri) di Kampung Cherok Paloh, Kuantan. - Foto Mohd Rafi Mamat.
DATUK Mohd Nizar Datuk Seri Mohd Najib (tengah) diiringi Naib Canselor UMP, Prof Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim (dua dari kiri) melawat bengkel roti milik Muhd Luqman Shamsudin (dua dari kanan) di Kampung Cherok Paloh Kuantan. - Foto Mohd Rafi Mamat.

Luqman gigih ceburi bisnes buat roti

KUANTAN: Minat dan tekad mengikuti kursus kemahiran mendorong Muhd Luqman Shamsudin menceburi perniagaan membuat pelbagai jenis roti, di Kampung Cherok Paloh, di sini.

Lelaki berusia 23 tahun itu memberanikan diri mengusahakan perniagaan berkenaan berbekalkan modal pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) sebanyak RM11,000 untuk membeli beberapa peralatan utama peralatan dan kelengkapan yang berkaitan.

"Selepas menamatkan alam persekolahan dalam bidang agama saya berniaga ikan di Ipoh, Perak namun hanya bertahan beberapa bulan sahaja... kemudian saya melakukan kerja selain terbabit dengan badan bukan kerajaan (NGO).

"Awal tahun ini, hati saya tergerak menceburi perniagaan roti dan usaha pertama dilakukan ialah dengan membina bengkel bagi tujuan berkenaan di atas tanah milik keluarga sambil dibantu bapa, Shamsudin Mohd Yusof (56 tahun)," katanya selepas menerima kunjungan Penasihat Kelab Program Mesra Dakwah (PERAMAH) Parlimen Pekan Datuk Mohd Nizar Najib, di sini, hari ini.

Selepas empat bulan berniaga, Muhd Luqman berkata, perniagaan roti mendapat permintaan menggalakkan daripada pengguna daerah ini dan Pekan dan setiap hari 200 hingga 300 biji pelbagai jenis roti dihasilkan.

Anak ketujuh daripada sembilan adik beradik itu berkata, tujuh jenis roti dihasilkan termasuk roti burger putih dan berwarna yang kini semakin mendapat tempat dikalangan penggemar makanan terbabit di negara ini.

Beliau berkata, sokongan bapa dan ibunya Noraini Hussin, 56 menambahkan lagi semangat serta kesungguhannya memajukan lagi perusahaan membuat pelbagai jenis roti jenama S&N Bakery bagi memenuhi permintaan pengguna.

"Sokongan pelbagai pihak yang ingin membantu untuk aktiviti pemasaran menambahkan semangat saya untuk berjaya dalam perniagaan roti yang sebelum ini tidak pernah terfikir.

"Beliau turut mengikuti pelbagai latihan termasuk tiga kursus membuat roti memberi kelebihan kepadanya menghasilkan produk yang berkualiti serta memenuhi selera pelanggan," katanya yang turut terbabit melakukan aktiviti pemasaran.

Berita Harian X