Rabu, 29 Ogos 2018 | 10:21pm
LAMAN sesawang Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah di http://sabah.gov.my/kplb/

KPLB Sabah nafi terbabit 'Projek IC'

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah menafikan dakwaan kononnya kementerian itu membantu mengumpul data untuk ‘Projek IC’ (Kad Pengenalan) seperti yang viral di media sosial.

Insiden itu dipercayai berlaku berikutan satu surat yang dikeluarkan oleh kementerian itu untuk mendapatkan maklumat senarai kampung, baru-baru ini.

KPLB Sabah dalam kenyataan berkata surat yang dikeluarkan itu bertujuan mendapatkan maklumat senarai kampung yang terletak jauh dari pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di setiap daerah di seluruh Sabah.

“KPLB Sabah mengambil maklum surat daripada Timbalan Setiausaha Tetap KPLB Sabah bertarikh 9 Ogos 2018 (KPLB: 100-10/149) itu menjadi viral.

“Surat terbabit dikeluarkan bagi mendapatkan maklumat jarak dan kedudukan kampung berkenaan sebagai langkah awal ke arah usaha menangani masalah daftar lewat kelahiran baharu dan kematian yang tidak dilaporkan kerana faktor jarak antara kampung dengan Pejabat JPN Daerah,” kata kementerian itu hari ini.

Menurut kenyataan itu, masalah daftar lewat kelahiran baharu termasuk kematian masih lagi menjadi masalah yang besar di Sabah dan Sarawak.

“Sehubungan itu, Menteri Dalam Negeri mengarahkan satu langkah baharu untuk menangani masalah ini, disusuli dengan pengeluaran surat berkenaan berasaskan Seksyen 21, Ordinan Kelahiran dan Kematian Sabah Cap 123, 1951.

“Ia memberi kuasa kepada Ketua Kampung menjadi Pelapor Kelahiran dan Kematian di kampung masing-masing kepada Pejabat JPN Daerah dalam tempoh 42 hari selepas tarikh kelahiran/kematian.

“Borang pelaporan serta prosedur operasi standard (SOP) akan disediakan oleh JPN, termasuk proses pengesahan kepada setiap laporan yang dibuat oleh ketua kampung terbabit,” tambah kenyataan itu.

KPLB Sabah berkata berdasarkan Program Kaunter Bergerak dan Mahkamah Bergerak sebelum ini, daftar lewat kelahiran banyak berpunca kerana keluarga tidak mampu menguruskan setiap rekod kelahiran atau kematian berikutan jarak kampung yang jauh dan masalah pendaftaran perkahwinan tidak terurus selain faktor kos.

“Daftar kelahiran dan kematian adalah sangat penting dalam perangkaan negara. KPLB Sabah mahu menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah ini walaupun sekadar membekalkan maklumat kampung dan jarak kepada pihak JPN supaya usaha yang lebih bersepadu dapat dibuat.

“Setakat 29 Ogos 2018, lima pejabat daerah dan pejabat daerah kecil sudah membekalkan maklumat terbabit, iaitu Kota Marudu, Beluran, Keningau, Sipitang dan Kemabong.

Antara kampung yang paling jauh dari pejabat JPN Daerah ialah Kampung Melalin, Pulau Jambongan dengan jarak 115 kilometer (km), Kampung Long Pasia, Sipitang (113 km), Kampung Long Mio, Sipitang (106 km), Kampung Sonsogon Mogis, Kota Marudu (93 km) dan Kampung Tagibang, Kota Marudu sejau 90 km. – BERNAMA

Berita Harian X