Ahad, 9 Disember 2018 | 2:08pm
Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian. - Foto Zain Ahmed
Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian. - Foto Zain Ahmed

Pulau Kukup terus kekal sebagai Taman Negara Johor - MB

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor, hari ini menegaskan akan memastikan status Pulau Kukup di Pontian, kekal sebagai Taman Negara Johor.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian, berkata hasil perbincangan, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sudah berkenaan untuk Pulau Kukup terus kekal digunakan sebagai kawasan Taman Negara Johor.

Katanya, selain terus kekal digunakan sebagai kawasan Taman Negara Johor, Pulau Kukup juga hendaklah dijaga dan dikawal selia oleh kerajaan negeri di bawah Perbadanan Taman Negara Johor.

“Patik menjunjung kasih atas titah berkenan Tuanku. Tindakan ini menunjukkan keprihatinan Tuanku terhadap kepentingan hutan paya bakau yang bertindak sebagai penahan ombak semula jadi dan juga memelihara kepentingan biodiversiti.

“Status mengenai Pulau Kukup ini juga sudah diusulkan dalam dewan ini dan saya bersetuju memaklumkan untuk membincangkan usul ini dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK), oleh yang demikian isu Pulau Kukup ini tidak perlu dipanjangkan lagi memandangkan ia masih kekal sebagai Taman Negara Johor, Pulau Kukup,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada penggal pertama persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini hari ini.

Osman berkata, keputusan menggugurkan status Pulau Kukup sebagai Taman Negara dibuat dalam MMK pada 7 Mac 2018 iaitu ketika Barisan Nasional (BN) mentadbir negeri itu.

“Tindakan ini hanya diketahui oleh pentadbiran saya apabila pembatalan rizab berkenaan diwartakan selepas mendapat kelulusan MMK ketika pentadbiran BN dan kemudiannya dilaporkan oleh media.

“Saya akui terkejut dengan laporan berita itu lebih-lebih lagi apabila ada rakan dalam Pakatan Harapan yang menuduh pentadbiran kerajaan negeri bertindak meluluskan pengguguran (status) itu sedangkan hakikatnya ia berlaku ketika pentadbiran lalu,” katanya.

Katanya, beliau sebagai wakil rakyat dan juga Ketua Eksekutif kerajaan negeri ingin menegaskan apa juga kepentingan rakyat akan didahulukan, walaupun berdepan dengan pelbagai rintangan.

“Saya bukanlah boneka kepada sesiapa, tetapi bertuankan rakyat yang memberikan kepercayaan kepada pasukan saya. ini tidak akan sesekali dikhianati.

“Percayalah, saya dan barisan EXCO akan terus bekerja kuat untuk memastikan negeri berdaulat ini. Kami tidak akan sesekali mengkhianati hak dan amanah rakyat,” tambahnya.

Berita Harian X