Isnin, 10 Jun 2019 | 7:15pm
TUN Dr Mahathir (tengah) menyerahkan rumah peduli kepada Hanizah Mohamed (dua dari kanan) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau sambil diperhatikan Adly (kiri) dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Hasim Hassan (kanan) pada Majlis Pelancaran Rumah Peduli Negeri Melaka sempena Lawatan Kerja ke Melaka di Lipat Kajang, Jasin. NSTP/Rasul Azli Samad

Rumah Peduli langkah tepat

JASIN: Kerajaan negeri Melaka mengambil langkah tepat dengan membina Rumah Peduli pada harga yang rendah dan mampu dibiayai oleh rakyat terbanyak.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata penyediaan rumah untuk kategori berkenaan juga selari dengan dasar kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, Rumah Peduli pada harga RM40,000 akan dapat menyediakan lebih banyak perumahan kepada rakyat dari kumpulan berpendapatan rendah.

“Sistem ini amat baik kerana Rumah Peduli ini berharga RM40,000 sahaja, rumah mampu milik berharga RM300,000, manakala rumah murah pula dianggarkan RM100,000 seunit.

“Ini bertepatan dengan janji kerajaan PH untuk membina sebanyak satu juta rumah dalam tempoh 10 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Pelancaran Program Rumah Peduli Negeri Melaka di Lipat Kajang, di sini, hari ini.

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Ketua Menteri, Adly Zahari, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu; Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Omar Jaafar dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Hasim Hasan.

Sementara itu, Adly berkata, Kerajaan Melaka berhasrat menyiapkan 84 unit Rumah Peduli Negeri Melaka dalam tempoh terdekat, dengan sasaran 500 unit bagi tempoh lima tahun.

Beliau berkata, pembangunan projek perumahan yang dilaksanakan itu memberi manfaat yang besar kepada kumpulan 40 peratus pendapatan terendah (B40) dan kumpulan 40 peratus pendapatan sederhana (M40) untuk memiliki rumah yang lebih selesa dan berkualiti.

“Rumah Peduli inisiatif kerajaan untuk perumahan rakyat termiskin yang memiliki tanah tetapi tidak berkemampuan membina rumah. Ia direka bentuk dan diselia pembinaannya oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Pembinaan rumah ini, selaras dengan dasar perumahan negara bagi pemilikan Rumah Mampu Milik untuk semua penduduk,” katanya.

Adly berkata, selain pembinaan Rumah Peduli Negeri Melaka, kerajaan juga menetapkan harga jualan Rumah Kos Rendah pada harga RM42,000; Rumah Kos Sederhana atau Rumah Harapan antara RM80,000 hingga RM100,000 seunit, manakala Rumah Mampu Milik tidak melebihi RM180,000 seunit dengan keluasan minimum 1,000 kaki persegi, dengan tiga bilik tidur serta dua bilik air.

“Kerajaan negeri juga menetapkan bagi projek pembangunan perumahan yang melebihi 3.2 hektar, pemaju diwajibkan membina RMM sebanyak 50 peratus merangkumi 10 peratus Rumah Kos Rendah, 10 peratus Rumah Kos Sederhana atau Rumah Harapan dan 30 peratus Rumah Mampu Milik, termasuk Rumah Belia Melaka,” katanya.

Berita Harian X