Rabu, 11 Disember 2019 | 2:52pm

Pembersihan tanah dapat kelulusan Jabatan Perhutanan negeri

IPOH: Pembersihan tanah berhampiran Hutan Simpan Kledang Saiong yang membabitkan pembangunan bersama syarikat Insan Permata Sdn Bhd bagi membangunkan tanah persendirian milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) berkeluasan 160.06 hektar mendapat kelulusan dari Jabatan Perhutanan Negeri Perak.

PKNP dalam kenyataan bagi menjawab dakwaan Sahabat Alam Malaysia (SAM) pada Ahad lalu, berkata Insan Permata Sdn Bhd diamanahkan bagi membangunkan projek pembangunan tanah dusun beralamat di PT 253408 dan PT 253409, mendapat kelulusan lesen daripada Jabatan Perhutanan Negeri Perak pada 1 November 2019 sehingga 31 Januari 2020.

“Status tanah itu dikeluarkan dari kawasan Hutan Simpan Kledang Saiong.

“Projek ini juga mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar Negeri Perak berdasarkan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) pada 21 Januari 2009,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Bahagian Perhubungan Awam PKNP di sini, hari ini.

Ahad lalu, SAM mendakwa kawasan hutan di lereng bukit Banjaran Kledang berhampiran Chemor, dimusnahkan dan dieksploitasi sejak 1 November lalu.

Presidennya Meenakshi Raman dipetik berkata, berdasarkan pemerhatian di lapangan kelmarin, seluas kira-kira 20 hektar kawasan hutan ditebang sehingga gondol.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga Pengerusi PKNP ketika ditanya berkenaan perkara itu selepas menghadiri Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) di Bilik Gerakan Negeri bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di sini, semalam, turut enggan mengulas lanjut.

Malah Ahmad Faizal menjelaskan, pihaknya tidak mempunyai maklumat terperinci berhubung perkara itu dan akan meminta maklum balas daripada pihak yang berkenaan sebelum membuat sebarang ulasan.

“Perkara itu, saya sendiri tiada maklumat sepenuhnya, saya harap pihak media boleh terus bertanya soalan ini kepada PNKP,” katanya.

Dalam pada itu, PKNP berkata, pembersihan tanah dijalankan untuk projek tanaman (kategori pertanian) bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh dan mengganggu ekosistem di kawasan itu mengikut syarat yang ditetapkan di dalam Laporan Pengurusan Alam Sekitar (EMP).

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X