Khamis, 9 April 2020 | 10:24am
Polis tutup lima laluan utama ke pusat bandar selain tambahan dua SJR di sekitar daerah Tawau. FOTO/NSTP
Polis tutup lima laluan utama ke pusat bandar selain tambahan dua SJR di sekitar daerah Tawau. FOTO/NSTP

PKP: 5 laluan ke pusat bandar Tawau ditutup

TAWAU: Polis menutup semua lima laluan utama ke pusat bandar di sini bagi tempoh 24 jam sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula jam 2 petang ini susulan Tawau dikategorikan sebagai zon merah selepas mencatatkan 67 kes positif COVID-19.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas, berkata Tawau daerah pertama di Sabah yang dikategorikan sebagai kawasan Zon Merah dan penutupan laluan secara kekal itu bagi memastikan orang ramai tidak bergerak secara bebas sepanjang tempoh PKP.

Jelasnya, langkah itu juga bertujuan meningkatkan tahap pematuhan orang ramai terhadap Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (2020).

“Lima laluan masuk ke pusat bandar yang ditutup adalah Jalan Utara; simpang susur Jalan Salleh ke Jalan Dominic; Jalan Mawar (Lampu Isyarat Telekom); Jalan Kuhara (Lampu Isyarat Takada); dan Jalan Damai (Lampu Isyarat Jalan Damai).

“Turut ditutup adalah Jalan Apas arah masuk pusat bandar, bagaimanapun orang ramai masih boleh menggunakan lencongan ke Jalan Damai,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Peter berkata, pihaknya turut membuat dua lagi penambahan sekatan jalan raya (SJR) menjadikan sembilan keseluruhannya melibatkan penugasan anggota daripada cawangan Pasukan Gerakan Am (PGA); Pasukan Polis Marin (PPM); SSPDRM,

Angkatan Tentera Malaysia (ATM); RELA; MPT; dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

“Mohon kerjasama masyarakat Tawau untuk mematuhi PKP dan berwaspada di jalan-jalan yang ditutup dan SJR yang dilakukan,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X