Ahad, 10 Mei 2015 | 12:03am
KUALA Penyu yang didiami oleh majoriti masyarakat Dusun Tatana turut dikenali dengan tanaman pokok rumbia, yang menjadi sumber makanan dan pendapatan penduduk sejak sekian lama. - Foto Mohd Nazllie Zainul

TAMAN Sitompok di Kuala Penyu. - Foto Mohd Nazllie Zainul
TAMAN Sitompok di Kuala Penyu. - Foto Mohd Nazllie Zainul

Menjelajahi keunikan Kuala Penyu

MEMILIKI jajaran pantai yang memutih sepanjang kira-kira 50 kilometer (km), Kuala Penyu di Pedalaman Bawah Sabah menawarkan pengembaraan dan percutian mendamaikan.

Terletak kira-kira 130 km dari Kota Kinabalu, daerah kecil itu yang majoritinya didiami masyarakat Dusun Tatana turut dikenali dengan tanaman pokok rumbia sebagai sumber makanan dan pendapatan sampingan penduduk sejak sekian lama.

Difahamkan, nama Kuala Penyu diperoleh bukanlah kerana ia menjadi lokasi utama pendaratan haiwan marin itu, sebaliknya berdasarkan legenda sebiji batu berbentuk seekor mamalia menyerupai penyu yang terbenam di Kuala Sungai Tasik Sitompok di daerah ini.

Penulis dan beberapa rakan menghabiskan cuti hujung minggu ke Kuala Penyu melalui daerah Papar, Bongawan dan Membakut.

JETI di Kuala Penyu. - Foto Mohd Nazllie Zainul
JETI di Kuala Penyu. - Foto Mohd Nazllie Zainul

Pengembaraan berkereta ke Kuala Penyu pasti tidak akan membosankan kerana banyak lokasi boleh singgah, antaranya di tepi jalan Kampung Andus, Papar yang memilik deretan gerai air kelapa dan puding, selain pelbagai jenis ikan masin dan udang kering.

Selepas kira-kira dua jam perjalanan, penulis tiba di pekan Kuala Penyu dan terus saja menikmati makan tengah hari di anjung selera di tepi Sungai Sitompok. Sambil menjamu selera, penulis dapat melihat aktiviti nelayan di sungai berkenaan.

Tidak jauh dari anjung selera, terletaknya jeti Kuala Penyu yang menjadi lokasi bagi pelancong untuk berkunjung ke Pulau Tiga atau digelar Survivor Island kerana pernah menjadi lokasi penggambaran rancangan realiti antarabangsa, Survivor.

Ia adalah gabungan tiga pulau iaitu Pulau Tiga, Kalampunian Besar dan Kalampunian Damit di Teluk Brunei. Pembentukan pulau berkenaan lebih seabad lalu dipenuhi dengan pelbagai misteri, sama seperti munculnya Pulau Batu Hairan di perairan Pulau Banggi, Kudat pada tahun 1988.

BAGI yang mahu bermalam sambil merasai suasana mendamaikan yang jauh dari hiruk-pikuk kota, bolehlah datang ke Borneo Tempurung Seaside Logde, yang hanya mengambil masa 15 minit perjalanan menaiki kenderaan dari pekan Kuala Penyu. - Foto Mohd Nazllie Zainul

JALAN masuk ke Borneo Tempurung Seaside Logde. - Foto Mohd Nazllie Zainul
JALAN masuk ke Borneo Tempurung Seaside Logde. - Foto Mohd Nazllie Zainul

Berbeza dengan Pulau Batu Hairan yang tenggelam semula, Pulau Tiga mempunyai sejarah geologi tersendiri, timbul dari dasar laut disebabkan gempa bumi kuat di Mindanao, selatan Filipina pada tahun 1897 dan kini menjadi tarikan pelancong dengan mandi lumpur sebagai aktiviti utamanya.

Selepas meronda sekitar pekan kecil yang masih berlatarbelakangkan kedai kayu hingga menimbulkan suasana klasik, kami terus ke tempat penginapan iaitu Borneo Tempurung Seaside Lodge di Kampung Tempurung.

Kedudukan resort di atas bukit membolehkan pengunjung menikmati pemandangan Laut China Selatan seluas mata memandang, sambil tubuh 'dipukul' angin pantai.

BATU Luang terkenal dengan bongkah batu besar, yang menjadi tumpuan pengunjung untuk bergambar. - Foto Mohd Nazllie Zainul
BATU Luang terkenal dengan bongkah batu besar, yang menjadi tumpuan pengunjung untuk bergambar. - Foto Mohd Nazllie Zainul

Tidak jauh dari Kampung Tempurung, terhampar pantai Batu Luang, yang terkenal dengan bongkah batu besar di tepi pantainya hingga menjadi tumpuan pengunjung bergambar, terutama apabila menjelang senja.

Di Batu Luang, tekan saja punat kamera, pasti gambar dihasilkan sangat menarik serta lokasi wajib dikunjungi oleh penggemar seni fotografi.

PANTAI Tempurung antara lokasi yang wajib dikunjungi jika datang ke daerah Kuala Penyu. - Foto Mohd Nazllie Zainul
PANTAI Tempurung antara lokasi yang wajib dikunjungi jika datang ke daerah Kuala Penyu. - Foto Mohd Nazllie Zainul

Kedatangan pelancong semakin meningkat

Berikutan kedudukan Kampung Tempurung yang agak terpencil, keadaan pantainya bersih dengan laut yang jernih tanpa pencemaran.

Selesai mandi dan makan tengah hari, penulis meninggalkan Kampung Tempurung untuk ke Pusat Informasi Rumbia bagi mengetahui lebih banyak maklumat mengenai pokok rumbia yang cukup popular dalam kalangan masyarakat setempat.

Antara aktiviti di Pusat Informasi Rumbia itu termasuklah demonstrasi makan butod iaitu ulat sagu yang mudah ditemui dalam batang pokok rumbia, demonstrasi membuat sagu, bilik pameran rumbia dan tayangan video.

Bagi masyarakat Dusun Tatani di Kuala Penyu, pokok rumbia memiliki 1,001 kegunaan dan manfaatnya tersendiri. Daunnya dijadikan atap, kulit pelepah boleh dibuat lantai rumah dan kraf tangan, isi batang rumbia diproses menjadi sagu selain hampasnya sesuai dijadikan makanan ayam dan itik.

WALAUPUN hanya daerah kecil, Kuala Penyu mempunyai pelbagai daya tarikan. - Foto Mohd Nazllie Zainul
WALAUPUN hanya daerah kecil, Kuala Penyu mempunyai pelbagai daya tarikan. - Foto Mohd Nazllie Zainul

Lantaran kepentingannya dalam kehidupan masyarakat Kuala Penyu, pokok rumbia diangkat menjadi ikon dan asas penganjuran Pesta Rumbia setiap tahun.

Pegawai Daerah Kuala Penyu, Edmund Teo, berkata daerah itu terkenal dengan pantai yang cantik dan kepelbagaian budaya.

Daerah berkenaan juga adalah antara lokasi pilihan pelancong terutamanya bagi mereka yang mahu melihat cara memproses sagu atau lebih dikenali sebagai ambuyat oleh masyarakat tempatan, selain melihat penghasilan kraftangan berasaskan pokok rumbia.

"Jumlah pelancong semakin bertambah setiap kali tibanya penganjuran Festival Rumbia. Pelbagai aktiviti diadakan antaranya demonstrasi penghasilan sagu, pameran kraftangan, pertandingan menarik batang rumbia dan mengopek kulit pelepah rumbia," katanya.

DENGAN jajaran pantai sepanjang 50 km, Kuala Penyu menawarkan lokasi percutian mendamaikan buat pengunjung. - Foto Mohd Nazllie Zainul
DENGAN jajaran pantai sepanjang 50 km, Kuala Penyu menawarkan lokasi percutian mendamaikan buat pengunjung. - Foto Mohd Nazllie Zainul

Info Kuala Penyu

  • 130 km dari Kota Kinabalu
  • Terkenal dengan penganjuran Pesta Rumbia
  • Memiliki jajaran pantai sepanjang 50 kilometer
  • Dikenali kerana memiliki Pulau Tiga atau Survivor Island
Berita Harian X