Selasa, 25 Oktober 2016 | 12:14am

Malaysia masih ketinggalan dalam amalan kitar semula

HANYA 17.39 peratus rakyat jadikan amalan kitar semula walaupun pelbagai kempen dianjur, peraturan digubal. - Foto hiasan
HANYA 17.39 peratus rakyat jadikan amalan kitar semula walaupun pelbagai kempen dianjur, peraturan digubal. - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Pelbagai kempen sudah digerakkan oleh kerajaan dan swasta, namun kesedaran untuk kitar semula dalam kalangan rakyat Malaysia masih belum memuaskan sedangkan manfaatnya amat besar untuk kehidupan.

Amalan itu amat penting untuk melindung alam sekitar daripada pencemaran yang semakin memberi kesan kepada kesihatan dunia dan boleh menjejaskan masa depan manusia, tapi proses berkenaan jarang dititikberatkan oleh orang ramai.

Masih boleh dilihat sebahagian besar rakyat mengambil mudah kitar semula yang mampu menjimatkan sumber, menghalang pencemaran dan menyumbang kepada kesihatan awam. Tidak ramai yang sedar kitar semula juga mewujudkan peluang pekerjaan serta dapat menjana pendapatan sampingan dengan mudah.

Amalan itu juga dapat mengurangkan pembuangan sisa, pencemaran udara daripada proses pembakaran, pencemaran air dari tapak pelupusan sampah serta pengeluaran gas rumah hijau, selain mengurangkan penggunaan bahan mentah baharu dan tenaga.

Tidak dapat disangkal, proses kitar semula adalah penentu kepada masa depan lebih baik bagi mengelakkan pencemaran yang boleh mengubah landskap dunia dan menjejaskan kehidupan generasi akan datang. Ketika ini, kadar pertambahan jumlah sisa pepejal negara adalah dua kali ganda daripada sepatutnya.

KERATAN akhbar BH pada 12 Oktober lalu.
KERATAN akhbar BH pada 12 Oktober lalu.

Menyedari pentingnya amalan berkenaan dan pola pertambahan sisa buangan yang terus meningkat dari semasa ke semasa, kerajaan mewajibkan pengasingan sisa pepejal di rumah mulai 1 September tahun lalu berdasarkan peraturan mengikut Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

Peraturan yang dikuatkuasakan di Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah itu diharap dapat mendidik rakyat supaya mengamalkan kitar semula dengan lebih berkesan.

Undang-undang itu perlu bagi mengurangkan sisa yang dibuang ke tapak pelupusan, pencemaran udara akibat pembakaran terbuka, pencemaran sungai dan laut akibat pembuangan sampah secara berleluasa serta mengelak pencemaran bau akibat pengurusan sampah tidak sistematik.

Kitar semula adalah amalan mudah dan tidak memerlukan masa lama yang dapat mengurangkan penggunaan sumber baharu untuk dijadikan bahan baharu seperti kulit kayu bagi penghasilan kertas serta mengelakkan kepupusan flora dan fauna.

Sisa perlu diasingkan dengan sisa baki atau sisa pepejal isi rumah yang tidak boleh dikitar semula dibungkus kemas, diletakkan dalam tong sampah untuk pelupusan. Sisa boleh dikitar semula pula diletakkan dalam bungkusan berasingan di tepi tong sampah untuk dihantar ke tempat pemprosesan kitar semula.

INFO:

# Definisi kitar semula

- Proses ubah semula bahan yang sepatutnya dibuang untuk dijadikan produk sama atau sumber yang mendatangkan nilai kepada alam sekitar, kewangan, faedah sosial. 

- Bahan seperti kaca, besi, plastik, kertas dikumpul, diasingkan, dihantar ke pusat pemprosesan untuk ditukarkan kepada produk atau bahan baharu. 

# Fungsi warna tong kitar semula

- Biru: mengumpul kertas.

- Coklat: mengumpul kaca.

- Jingga: mengumpul tin aluminium, plastik.

# Barangan boleh kitar semula

- Kertas: surat khabar, majalah, buku panduan, komik, katalog, kertas komputer, kertas A4, kertas berwarna, resit, bil, kotak kertas, kadbod, kalendar, sampul surat, poskad, risalah, bungkusan pos. 

- Plastik: botol minuman ringan, botol jus, botol minuman air mineral, bekas makanan, bekas sabun cecair mandian, botol syampu, botol makanan kesihatan dan vitamin, bekas pencuci pakaian dan lantai, botol kicap, baldi, beg plastik, bekas ais krim.

- Kaca, seramik: botol kicap, botol sos, botol jem, botol minuman ringan, botol vitamin, bekas kosmetik, pinggan kaca.

- Tin aluminium, besi, logam lain: tin minuman ringan, tin makanan dan sos, tin biskut, tin makanan cecair, alatan dapur seperti sudu, periuk senduk. 

- Sisa elektrik, barang elektrik kecil: bateri, kalkulator, telefon bimbit, peralatan elektrik, lampu kalimantang, lampu LED, cerek elektrik, dapur elektrik. 

- Bahan fabrik, kasut, getah, kulit: kasut, beg tangan, pakaian, sarung tangan. 

- Sisa berbahaya: bekas penyembur ubat nyamuk, tin cat, bekas racun, bekas bahan pelarut, bekas ubat anai-anai.

# Faktor menyumbang peningkatan sisa

- Peningkatan pendapatan membolehkan orang ramai membeli lebih banyak produk, hasilkan lebih banyak sisa.

- Peningkatan populasi bermakna semakin ramai manusia menghasilkan sampah.

- Pengeluaran produk pembungkusan, kebanyakannya mengandungi bahan tidak dapat dilupuskan.

- Perubahan gaya hidup seperti penghasilan makanan segera dibungkus dengan bahan tidak dapat dilupuskan seperti kertas minyak, plastik.

# Fakta nombor

- 215 kilogram sisa makanan dibuang setiap isi rumah setiap tahun.

- 90 peratus sisa daripada operasi pasar raya, restoran adalah sisa makanan.

- 26 juta tan sisa makanan dihasilkan setiap tahun, penyumbang ketiga terbesar sisa buangan.

- 2.3 juta tan barang boleh kitar semula dengan anggaran nilai mencecah RM900 juta, dibuang ke tapak pelupusan sampah di Malaysia setiap tahun.

- 33,000 tan sehari penjanaan sisa negara direkodkan pada 2013, meningkat daripada 19,000 tan pada 2005.

- 6.7 peratus purata pertambahan sisa pepejal setahun linear di negara ini, lebih tinggi berbanding 3 peratus kadar purata pertambahan di peringkat global.

Berita Harian X