Rabu, 21 Ogos 2019 | 9:28pm
KETUA Pegawai Eksekutif Hektar Asset Management dan Pengurus Hektar REIT, Datuk Hisham Othman. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
KETUA Pegawai Eksekutif Hektar Asset Management dan Pengurus Hektar REIT, Datuk Hisham Othman. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Subang Parade Bangunan Cekap Tenaga

KUALA LUMPUR: Hektar Asset Management Sdn Bhd (Hektar) menerusi pusat beli-belah utamanya, Subang Parade muncul sebagai penerima tunggal di Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA) 2019 bagi kategori Bangunan Cekap Tenaga –sub kategori Bangunan Diubahsuai.

Anugerah berkenaan dianjurkan pertama kali oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Cuaca (MESTECC) pada 2018.

Ketua Pegawai Eksekutif Hektar Asset Management dan Pengurus Hektar REIT, Datuk Hisham Othman, berkata inisiatif cekap tenaga di Subang Parade dijalankan dengan mengubahsuai sistem termasuk menggantikan sistem penyejuk kurang cekap, pam, menara penyejuk, selain memasang Sistem Pengurusan Bangunan pada 2017.

“Bagi tujuan itu, kami menggunakan khidmat peneraju ACMV Intellisense Sdn Bhd,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Anugerah itu diadakan dengan objektif memperakui sesebuah pertubuhan bagi memacu ke arah pembangunan sektor tenaga mampan menerusi penekanan ke arah penyelidikan dan pembangunan inovatif serta amalan terbaik di dalam teknologi tempatan di negara ini.

Sebanyak 145 pencalonan diterima dan dari jumlah itu sejumlah 77 pencalonan disenarai akhir untuk dicalonkan ke dalam tiga kategori utama – bangunan cekap tenaga, pengurusan tenaga dan tenaga diperbaharui.

Hisham berkata, pengiktirafan daripada MESTECC akan memacu Hektar untuk meneruskan kesinambungan ke arah kelestarian hijau.

“Usaha berkenaan termasuk meningkatkan sistem reka bentuk pencahayaan di pusat beli-belah lain dengan menggantikan mentol kepada LED bagi mengurangkan kos penggunaan tenaga elektrik dan juga kekerapan menukar mentol lampu.

“Langkah lain yang turut diambil ketika ini ialah menggunakan pencahayaan siang hari dan mengurangkan pencahayaan lampu, pemantauan sistem lampu elektrik berintensifkan tenaga serta mengawal sistem pencahayaan dengan mengurangkan pelepasan haba yang mengakibatkan penurunan sistem penyejukan di udara,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, inisiatif berkenaan berjaya mengurangkan purata penggunaan elektrik sebanyak 34 peratus yang boleh diterjemahkan kepada penurunan pelepasan karbon sebanyak 34 peratus.

“Ia boleh diterjemahkan kepada penjimatan sehingga 36 peratus secara purata bil elektrik bulanan pada tahun lalu dan usaha ini diteruskan dengan penggunaan pencahayaan LED dan mengoptimumkan penggunaan air yang menunjukkan penurunan penggunaan hampir 50,000 meter padu pada tahun yang sama,” katanya.

Pada masa sama katanya, syarikat juga merancang untuk memperkenalkan “pajakan hijau” dengan menyediakan peruncit baharu dan sedia ada menerusi panduan “hijau” untuk reka bentuk kedai baharu serta mendidik penyewa dengan pelbagai aktiviti kesedaran bagi menggalakkan mereka mengamalkan konsep kelestarian hijau.

“Kami turut mendidik pengunjung dan orang ramai menerusi pelbagai bentuk kempen bagi mengurangkan penggunaan karbon di pusat membeli belah,” katanya.

Berita Harian X