Isnin, 3 September 2018 | 1:58pm
DATUK Mohamed Hazlan Mohamed Hussain.

Mohamed Hazlan dilantik Presiden, CEO baharu Prasarana

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan hari ini, mengumumkan pelantikan Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) yang baharu, berkuatkuasa hari ini.

Beliau akan mengambil alih tugas Masnizam Hisham yang tamat tempoh perkhidmatannya pada 2 September 2018.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, dalam satu kenyataan memaklumkan, Mohamed Hazlan yang berkelulusan ijazah sarjana muda dalam bidang kejuruteraan awam daripada Imperial College of Science and Technology, London, pada 1988, mempunyai pengalaman luas serta rekod perkhidmatan dalam bidang pengangkutan awam, minyak dan gas, pos serta lebuh raya.

Jawatan yang pernah disandangnya termasuk Pengarah Kumpulan dalam beberapa bahagian DRB-Hicom, Ketua Pegawai Operasi RapidKL, Ketua Pegawai Operasi Unit Strategik POS Malaysia Berhad dan Pengurus Besar Bahagian Operasi Plus Expressways, katanya.

"Beliau akan bertanggungjawab mentakrifkan hala tuju baharu Prasarana supaya pencapaian operasi Prasarana dalam sektor pengangkutan awam dapat dipertingkatkan.

"Pada masa sama, Mohamed Hazlan juga mempunyai peranan yang besar untuk melaksanakan penstrukturan semula syarikat bersama Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan bagi merekodkan tahap pembiayaan kewangan yang lebih berkesan dan mampan," jelas Lim.

Pada tahun 2017, kumpulan Prasarana mencatat pendapatan sebanyak RM846 juta tetapi mengalami kerugian selepas cukai sebanyak RM2.467 bilion.

Di samping itu, Lim turut merakamkan penghargaan kepada Masnizam atas perkhidmatan beliau sejak dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif bermula 18 Januari 2018 hingga 2 September 2018. -- BERNAMA

Berita Harian X