Isnin, 20 April 2020 | 10:15pm
Inisiatif platform derma awam digital, ‘Derma Dengan Ikhlas’
Inisiatif platform derma awam digital, ‘Derma Dengan Ikhlas’

AirAsia.com perkenal platform derma secara digital

KUALA LUMPUR: AirAsia.com menerusi jenama perniagaan baharunya, Ikhlas.com melancarkan ‘Derma Dengan Ikhlas’, inisiatif platform derma awam digital selamat dan terjamin bagi individu atau organisasi yang ingin menjalankan tanggungjawab amal pada Ramadan.

AirAsia dalam satu kenyataan, berkata inisiatif tabung derma ini dijalankan dengan kerjasama Yayasan Amanah Assofwah Almalikiyyah, di mana dana yang diraih akan digunakan untuk membantu komuniti yang memerlukan serta pasukan barisan hadapan.

“Inisiatif ini juga untuk membantu peniaga tempatan di bulan Ramadan ini,” katanya.

Menurut AirAsia, antara komuniti yang akan menerima sumbangan berkenaan termasuk keluarga yang kurang bernasib baik, pelarian dan badan bukan berasaskan keuntungan seperti Soup Kitchen dan rumah anak-anak yatim.

“Sebahagian dari dana ini juga akan digunakan untuk membeli juadah berbuka puasa bagi pasukan barisan hadapan yang bertugas seperti pegawai perubatan, polis, tentera dan lain-lain,” katanya.

Kempen ini bermula dari hari ini hingga 22 Mei depan.

Ketua Ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin, berkata Derma Dengan Ikhlas memberi peluang kepada semua orang untuk bekerjasama dan bersama membantu mereka yang memerlukan.

Katanya, inisiatif itu ditubuhkan untuk menyediakan sebuah platform bagi membantu penderma menyalurkan sumbangan ikhlas yang akan digunakan untuk tujuan sedekah bulan Ramadan.

“Sambutan bulan Ramadan pada tahun ini sudah pasti jauh berbeza tetapi satu perkara yang tidak akan berubah adalah amalan bersedekah.

“Kami berharap untuk mengedar barang keperluan asas kepada 5,000 keluarga dan juadah berbuka puasa kepada lebih 20,000 individu di sepanjang Ramadan ini.

“Kami akan membeli bekalan daripada lebih 100 peniaga kecil dan sederhana dengan tujuan membantu perniagaan mereka pada masa yang sukar ini,” katanya.

‘Derma Dengan Ikhlas’ adalah sebahagian daripada kempen #InThisTogether oleh Kumpulan AirAsia. Orang awam yang berminat untuk menderma boleh melayari laman sesawang Givewith.Ikhlas.com.

Ikhlas.com adalah jenama perniagaan baharu di bawah naungan AirAsia.com yang ditubuhkan khusus untuk perniagaan pelancong Muslim.

Portal yang akan dilancarkan pada Jun ini, bertujuan untuk membantu umat Islam di seluruh dunia dalam menunaikan kewajipan agama termasuk umrah, korban dan gaya hidup berasaskan hukum syariah.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X