Selasa, 23 Oktober 2018 | 5:53pm
- Foto Hiasan

Langkah tepat turunkan harga Internet

CYBERJAYA: Usaha yang diambil oleh syarikat telekomunikasi tempatan menurunkan harga Internet jalur lebar adalah langkah tepat dalam menyediakan akses Internet mampu milik kepada rakyat di negara ini.

Pengerusi Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM), Mohamad Yusrizal Yusoff, berkata ia juga meletakkan Malaysia selangkah ke hadapan dalam mencapai objektif Pelan Sambungan Seluruh Negara (NCP).

Beliau berkata, pihaknya menyokong inisiatif yang dilakukan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo serta kerjasama yang diberikan oleh penyedia perkhidmatan khususnya Celcom, Maxis, TIME dan TM bagi memastikan jalur lebar mampu dimiliki semua rakyat.

Katanya, CFM juga akan memantau perkhidmatan baharu yang ditawarkan penyedia perkhidmatan kepada pengguna selain menggalakkan pengguna menjadi lebih berinformasi sebelum melanggan sebarang pakej.

Namun beliau berkata, meskipun harga telah dikurangkan, CFM masih menerima pertanyaan dan rungutan di media sosial CFM mengenai maklumat terperinci berkaitan tawaran harga itu.

“Semakan semula harga jalur lebar ini adalah sesuatu yang baru kepada pengguna dan saya percaya mereka tidak mendapat maklumat yang mencukupi mengenai harga, kelajuan dan syarat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, CFM turut menerima aduan mengenai isu tiada liputan serta kelajuan jalur lebar.

“Di Malaysia, terdapat begitu banyak pilihan yang boleh didapati untuk pengguna. Kita mempunyai pelbagai pakej jalur lebar tanpa wayar dan jalur lebar satelit.

“Kita harus bijak dalam memilih pilihan terbaik dengan mengetahui jenis penggunaan kita dan tahap penggunaan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, pakej tertentu yang ditawarkan syarikat telekomunikasi turut mempunyai lanjutan kontrak.

“Pelanggan dinasihatkan untuk menghubungi penyedia perkhidmatan masing-masing untuk mendapatkan maklumat dan penjelasan lanjut,” katanya.

Berita Harian X