Isnin, 19 November 2018 | 3:27pm

TM terima jumlah aduan tertinggi

KUALA LUMPUR: Penyedia jalur lebar tetap terbesar negara, Telekom Malaysia Bhd (TM) mencatatkan jumlah aduan tertinggi iaitu sebanyak 7,946 kes setakat tahun ini berbanding syarikat penyedia yang lain.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, jumlah aduan TM itu juga menunjukkan peningkatan sebanyak 43 peratus berbanding 4,528 kes yang diterimanya tahun lalu.

SKMM berkata, aduan terhadap TM yang menguasai pasaran sebanyak 85.97 peratus memberikan impak kepada rakyat termasuk perniagaan yang kebanyakannya bergantung kepada rangkaian syarikat itu dalam rutin harian mereka.

“Pengguna menuntut perkhidmatan yang lebih baik untuk bayaran bulanan yang dibayar kepada TM. Berdasarkan jumlah purata aduan bagi setiap 1000 pelanggan, TM mencatatkan bilangan aduan tertinggi berbanding dengan penyedia perkhidmatan lain.

“Aduan itu termasuk ketidakpuasan mengenai caj yang dikenakan (21 peratus, liputan UNIFI yang tidak memuaskan (16 peratus), gangguan perkhidmatan UNIFI (13 peratus), pertikaian bil (14 peratus), penyampaian perkhidmatan (14 peratus) serta kategori lain sebanyak 22 peratus.

“Kerajaan melihat penurunan perkhidmatan TM ini sebagai satu perkara yang serius,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

SKMM berkata, pendekatan pengendalian TM dalam menangani aduan seperti keterbatasan teknikal dan meminta pengguna untuk bersabar adalah tindakan yang tidak wajar.

Suruhanjaya itu berkata, membiarkan pelanggan tanpa penyelesaian yang wajar tidak seharusnya berlaku dalam operasi syarikat bertaraf multinasional seperti TM.

Katanya, seperti kes yang terjadi semalam, TM hanya memaklumkan pelanggan mengenai gangguan perkhidmatan UNIFI, tetapi gagal memberikan alasan untuknya.

“TM juga harus merasionalkan perbezaan antara harga UNIFI dan Streamyx bagi setiap megabits sesaat (Mbps) supaya pengguna dikenakan bayaran dengan adil untuk kelajuan yang mereka nikmati tanpa diskriminasi teknologi.

“Ini amat penting dalam bidang di mana UNIFI tidak tersedia. TM perlu telus dalam berurusan dengan pengguna, menawarkan pakej yang bernilai tinggi, tidak mengambil kesempatan daripada kekurangan pilihan pengguna.

“SKMM menganggap perlindungan pengguna sebagai keutamaan utama dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil sebarang tindakan pengawalseliaan terhadap TM atau mana-mana pemegang lesen yang didapati melanggar peraturan,” katanya.

Sementara itu, TM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sentiasa komited meningkatkan pengalaman pelanggan dan sentiasa berinteraksi dengan SKMM berkongsi inisiatif pengalaman pelanggannya.

TM juga mempelawa kerajaan untuk berbincang bagi mencapai keputusan segera untuk memberi manfaat bersama dalam peningkatan kualitinya.

“TM mengharapkan pendekatan menang-menang secara kolaboratif dengan kerajaan dalam menangani cabaran ini.

“TM juga ingin mempercepatkan perbincangan dengan SKMM bagi mencari pilihan kolaboratif berpotensi, pelbagai teknologi yang bersesuaian,” katanya dalam satu kenyataan.

Berita Harian X