Jumaat, 22 November 2019 | 3:49pm

TRYKE bakal tawar perkhidmatan 1,000 e-skuter

CYBERJAYA: TRYKE Transportation Sdn Bhd (TRYKE), penyedia khidmat pengangkutan mobiliti mikro menyasar menawarkan perkhidmatan 1,000 skuter elektrik (e-skuter) di 14 lokasi tahun depan.

Pengasas Bersamanya, Shazwan Abdul Razak, berkata syarikat yang memulakan operasi e-skuter di Iskandar Puteri, Johor pada Jun tahun ini sudah memiliki 320 unit mobiliti berkenaan.

“Kami bercadang memulakan operasi di Cyberjaya dalam masa terdekat dan beberapa lokasi termasuk Putrajaya, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM),” katanya kepada media selepas majlis pelancaran e-skuter TRYKE di sini, hari ini.

Pelancaran e-skuter TRYKE dirasmikan oleh Ketua Pengarah PLANMalaysia, Datuk Mohd Anuar Maidin. Yang turut hadir, Pengasas Bersama TRYKE, Timothy Wong.

Sejumlah 14 lokasi yang menjadi tumpuan TRYKE termasuk Cyberjaya, Putrajaya, Melaka, Shah Alam, UPM, UIAM, Pulau Pinang dan Kuala Terengganu.

TRYKE yang ditubuhkan pada Januari tahun ini menawarkan perkhidmatan 70 e-skuter di Iskandar Puteri sebagai permulaan.

Shazwan berkata, TRYKE bercadang menempatkan sekurang-kurangnya 100 unit e-skuter di setiap lokasi bermula tahun depan.

Beliau berkata, syarikat itu juga sedang berbincang dengan pihak berkuasa tempatan di lokasi strategik untuk mendapatkan kelulusan supaya e-skuter yang ditawarkan TRYKE dapat beroperasi.

“Perbincangan ini untuk mengelakkan isu berbangkit dengan operasi e-skuter mengikut tahap keselamatan dan peraturan yang digariskan.

“Operasi di UPM serta UIAM sudah diluluskan dan kami dalam proses penempatan e-skuter,” katanya.

E-skuter TRYKE diperbuat daripada aloi aluminum seberat 14 kilogram (kg) dan boleh meneruskan perjalanan sejauh 40 kilometer (km) dan kelajuan sekitar 20 kilometer sejam (km/j).

Aplikasi TRYKE boleh di muat turun Apple App Store dan Google Play Store.

Setiap penggunaan akan dicaj RM1 sebagai permulaan, diikuti caj asas 30 sen bagi setiap minit.

TRYKE turut menawarkan pas penggunaan tanpa had untuk kegunaan harian, mingguan dan bulanan bermula RM9.99 hingga RM99.

PENGASAS TRYKE, Timothy Wong (empat kiri) bersama Pengasas Bersama TRYKE, Shazwan Abdul Razak (lima kanan) bergambar bersama kakitangan mereka ketika majlis pelancaran Khidmat E-Skuter TRYKE di Cyberjaya. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah
PENGASAS TRYKE, Timothy Wong (empat kiri) bersama Pengasas Bersama TRYKE, Shazwan Abdul Razak (lima kanan) bergambar bersama kakitangan mereka ketika majlis pelancaran Khidmat E-Skuter TRYKE di Cyberjaya. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Berita Harian X