Selasa, 3 Disember 2019 | 1:11pm

Pekebun getah disaran tanam jagung, nanas

KUALA LUMPUR: Pasaran getah dunia kini berdepan lambakan produk getah sintetik yang lebih murah dan senang didapati, sekali gus menjejaskan harga getah asli yang dihasilkan negara pengeluar utama termasuk Malaysia.

Susulan itu, pekebun getah di gesa beralih kepada tanaman komoditi berasaskan makanan seperti nanas dan jagung yang mempunyai potensi nilai eksport lebih besar pada masa hadapan.

Bekas Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Datuk Ab Rahman Ismail, berkata pekebun kecil perlu kreatif mencipta nilai tanaman, bukan hanya bergantung kepada tanaman getah semata-mata sebagai usaha menambah pendapatan.

“Kita tidak boleh kawal faktor luaran tetapi kita boleh kawal apa yang ada dalam kawalan kita. Jadi, jalan terbaik adalah beralih kepada tanaman yang mempunyai potensi eksport seperti komoditi berasaskan makanan.

“Sebagai contoh, satu ekar (0.4 hektar) tanaman nanas ketika ini mampu menghasilkan pendapatan sehingga RM500 sehari ketika musim menuai. Ini dibandingkan dengan purata tanaman getah purata dapat RM700-RM800 sebulan bagi 10 ekar tanah (4.04 hektar).

“Kerajaan juga boleh bantu pekebun menerusi insentif tanaman semula, ini kerana kita lihat untuk mengusahakan tanaman baharu ia memerlukan modal yang agak besar, jadi di sini peranan kerajaan untuk bantu pekebun menceburi bidang pertanian bernilai tinggi,” katanya ketika dihubungi BH, baru-baru ini.

Harga penanda aras getah fizikal SMR20 yang mencapai paras tertinggi RM17.17 sekilogram (kg) pada 18 Februari 2011, ketika hanya berlegar pada paras sekitar RM5.50 sekilogram.

Purata harga SMR20 untuk tahun ini adalah RM5.76 sekilogram, manakala susu getah adalah RM4.52 sekilogram.

Bagi tahun ini, prestasi harga getah mula mencatatkan kemerosotan pada suku ketiga 2019 apabila harga SMR 20 merosot sebanyak 10 peratus kepada RM5.59 sekilogram berbanding RM6.21 sekilogram pada suku kedua 2019.

Kejatuhan harga getah sepanjang tempoh ini dipengaruhi permintaan getah yang perlahan berikutan ketegangan perdagangan yang berlarutan di antara Amerika Syarikat dan China yang memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi dunia.

Berdasarkan perangkaan dikeluarkan Persatuan Negara-Negara Anggota Pengeluar Getah Asli (ANRPC), Malaysia kini adalah pengeluar getah asli kelima terbesar di dunia dengan pengeluaran sebanyak 670,000 tan, selepas Thailand, Indonesia, Vietnam dan China.

Dalam pada itu, Ab Rahman berkata, pengusaha kilang di negara ini juga perlu memanfaatkan kelebihan negara sebagai pengeluar getah asli bermutu tinggi dengan menghasilkan lebih banyak produk berasaskan getah.

“Ketika ini kita banyak buat penyelidikan mengenai kegunaan getah tetapi kurang dalam menghasilkan produk berasaskan getah. Alangkah baik jika kerajaan campur tangan, giatkan ekonomi berasaskan getah.

“Kerana kita lihat banyak produk berasaskan getah diimport daripada luar, jadi sudah tiba masanya kita kurangkan kebergantungan dalam import produk getah dan hasilkan produk kita sendiri.

“Selain dapat mencipta nilai tambah produk getah, ia juga mampu mengurangkan lambakan simpanan getah asli negara. Kita percaya dengan usaha seperti ini, harga komoditi ini akan kembali mengukuh,” katanya.

Berita Harian X