Isnin, 31 Julai 2017 | 12:39am
Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerima cenderahati daripada Pengerusi Verdezyne Incorporation Chad Waite (kiri) sambil diperhatikan Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (tiga kanan) pada Majlis Pecah Tanah Loji Sawit Verdezyne's Verde di Malaysia Bio-Xcell Sdn Bhd Iskandar Puteri hari ini. Turut hadir Duta Amerika Syarikat ke Malaysia Kamala Shirin Lakhdhir (dua, kanan) dan Pengerusi Malaysia Bioeconomy Development Corporation Tan Sri Zakri Abdul Hamid (kanan). - Foto BERNAMA

Loji biokimia pertama dunia di Iskandar Puteri

ISKANDAR PUTERI: Johor menjadi pendahulu dan peneraju hab bioekonomi negara dengan pembinaan Loji VerdePalm, kemudahan pembuatan bahan kimia boleh diperbaharui pertama seumpamanya di dunia.

Loji yang menghasilkan Asid Dodecanedioic (DDDA), iaitu komponen dari produk pengguna yang diperbuat daripada petroleum itu dibangunkan syarikat bioteknologi perindustrian, Verdezyne Inc yang berpangkalan di California, Amerika Syarikat dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 18 bulan.

Majlis pecah tanah Loji VerdePalm dikendalikan bersama Verdezyne dan Bio-Xcell Malaysia hari ini disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau serta Pengerusi Verdezyne, Chad Waite.


Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (tengah) bersama (dari kiri) Pengerusi Verdezyne Incorporation Chad Waite, Duta Amerika Syarikat ke Malaysia Kamala Shirin Lakhdhir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, dan Pengerusi Malaysia Bioeconomy Development Corporation Tan Sri Zakri Abdul Hamid ketika melakukan gimik Pecah Tanah Loji Sawit Verdezyne's Verde di Malaysia Bio-Xcell Sdn Bhd hari ini. - Foto BERNAMA

Majlis itu turut dihadiri Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhira dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong.

Tangau berkata, keputusan Verdezyne untuk membina kemudahan di Bio-Xcell di sini, membuktikan reputasi Malaysia semakin meningkat selaku destinasi pilihan bagi pelabur berasaskan bio di serata dunia.

"Satu perkembangan menggalakkan melihat negara meletakkan asas yang kukuh dalam industri berasaskan bio dengan menawarkan ekosistem kondusif yang merancakkan lagi pertumbuhan dan inovasi.

"Saya turut mengucapkan tahniah kepada Verdezyne kerana kejayaannya dalam membangunkan platform teknologi bagi pembuatan bahan kimia yang diperoleh daripada bahan mentah (berasaskan sawit) yang mampan bagi menghasilkan DDDA, iaitu alternatif kepada petrokimia," katanya.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, pembukaan kilang oleh Verdezyne itu dijangka mampu meletakkan Bio-Xcell di peringkat global sekali gus menarik lebih banyak pemain utama industri berasaskan bio ke negeri itu.

"Kita (kerajaan negeri) percaya pelaburan berasaskan bio akan terus berkembang di Johor, malah pembukaan kilang daripada syarikat besar seperti Verdezyne Inc diyakini mampu menarik lebih banyak pemain global dalam bidang berkenaan," katanya.

Pada tahun 2014, Sime Darby Bhd membuat pelaburan strategik dengan mengambil alih sebahagian kepentingan dalam Verdezyne sebagai sebahagian daripada inisiatif syarikat tempatan itu untuk memanfaatkan kawasan pertumbuhan baharu bagi perniagaan perladangannya.

Verdezyne memiliki teknologi menghasilkan bahan kimia daripada bahan lestari yang boleh didapati dalam rantaian nilai minyak sawit dan ia kemudian digunakan untuk membuat barang kegunaan harian seperti baju, kasut dan pelekat, selain produk perindustrian.

Berita Harian X