Isnin, 28 Mei 2018 | 3:26pm
KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Shahril Ridza Ridzuan ditemuramah wartawan selepas pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Luqman Hakim Zubir

Pasaran saham tempatan pada paras sihat - KWSP

KUALA LUMPUR: Aktiviti pasaran saham tempatan ketika ini berada pada paras sihat dan penurunan yang berlaku ketika ini adalah sejajar dengan penjualan besar-besaran dalam pasaran serantau serta global.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata pihaknya tidak bimbang mengenai aktiviti pasaran saham tempatan ketika ini.

Beliau berkata, lazimnya, pasaran saham akan mencatatkan kejatuhan dan peningkatan.

Paling utama, jelasnya, adalah melihat pasaran dalam jangka panjang.

"Kami selalu mengingatkan orang supaya tidak melihat pasaran dalam jangka pendek. Sebaliknya melihat dalam tempoh kitaran tiga hingga lima tahun. Ia adalah cara terbaik membuat pelaburan," katanya ketika ditemui selepas pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan di sini, hari ini.

Mengulas mengenai perkara yang dibincangkan pada pertemuan itu, Sharil berkata, perkara yang dibincangkan berkisar mengenai KWSP termasuk prestasi pengurus dana persaraan itu setakat ini.

Beliau berkata, pihaknya juga membincangkan apa yang boleh KWSP lakukan untuk menjamin masa depan pencarum.

"Visi kami menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pencarum. Kami memberi taklimat bagaimana kami menyampaikan perkhidmatan kami, pelaburan dan pulangan kepada pencarum," katanya.

Mengenai sama ada isu pemansuhan tol turut dibincangkan, Shahril berkata, isu itu tidak dibincangkan pada pertemuan pada kali ini.

Beliau berkata, perkembangan terkini mengenai perkara itu akan diumumkan Majlis Penasihat Kerajaan.

Sementara itu, selain KWSP, Majlis Penasihat Kerajaan juga bertemu dengan pemimpin utama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) utama lain seperti Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Datuk Abdul Rahman Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad dan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Tan Sri Azman Mokhtar.

Ia juga termasuk Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Johan Abdullah; Ketua Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin.

Berita Harian X