Rabu, 25 September 2019 | 9:19pm

94 pelajar ditahan bantah undang-undang baharu Indonesia

JAKARTA: Tunjuk perasaan pelajar Indonesia memasuki hari ketiga, hari ini bagi membantah undang-undang baharu termasuk kanun keseksaan jenayah yang akan memperuntukkan hukuman terhadap kesalahan zina dan menghina presiden.

Polis melepaskan gas pemedih mata dan meriam air bagi menyuraikan tunjuk perasaan yang tercetus di Jakarta dan bandar lain, semalam.

Ketua Polis Jakarta, Gatot Eddy Pramono berkata, seramai 265 pelajar dan 39 anggota polis cedera hari ini.

Pramono berkata, serama 94 orang ditahan Jakarta semasa rusuhan bersambung hingga malam. Segelintir mereka ditahan membawa bom petrol.

Presiden Indonesia, Joko Widodo Jumaat lalu menangguhkan undian Parlimen terhadap undang-undang jenayah baharu yang akan menggantikan undang-undang era penjajahan Belanda, menyatakan parlimen perlu membincangkan rang undang-undang itu pada bulan depan.

Pindaan undang-undang itu turut membabitkan beberapa hukuman zina, menghina presiden, penjara empat tahun menyebabkan keguguran tanpa kecemasan perubatan atau rogol dan penjara untuk sihir.

Pramono berkata, polis sedang menyiasat peranan kumpulan bukan pelajar dalam tunjuk perasaan itu, namun enggan memberi maklumat lanjut.

“Jika dibuktikan mereka penyebab kerosakan sama ada kereta, pagar, orang awam dan pasukan keselamatan, kami akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka dan memulakan proses undang-undang,” katanya yang merujuk kerosakan pagar di sekitar parlimen. -Reuters.

Berita Harian X