Rabu, 25 March 2020 | 7:31pm
Kakitangan perubatan Indonesia mengambil bahagian dalam ujian massa untuk coronavirus COVID-19 di stadium Patriot di Bekasi, Jawa Barat, Indonesia. - Foto AFP
Kakitangan perubatan Indonesia mengambil bahagian dalam ujian massa untuk coronavirus COVID-19 di stadium Patriot di Bekasi, Jawa Barat, Indonesia. - Foto AFP

COVID-19: Indonesia mungkin berdepan krisis sistem kesihatan

JAKARTA: Indonesia mungkin berdepan dengan kekurangan katil di hospital, kakitangan perubatan dan kemudahan penjagaan rapi memandangkan kini pakar memberi amaran bahawa negara berkenaan berupaya menjadi kawasan penyebaran pandemik COVID-19, menurut data oleh Reuters.

Pakar kesihatan menyatakan Indonesia bakal berdepan lonjakan jangkitan COVID-19 kerana lambat memberi maklum balas terhadap jumlah yang dijangkiti di negara keempat paling ramai penduduk di dunia itu, di mana sehingga kini hanya 686 kes dilaporkan dengan jumlah kematian 55, iaitu paling tinggi di Asia Tenggara.

Kajian daripada Pusat Pemodelan Matematik Penyakit Berjangkit berpusat di London menganggarkan, kurang dua peratus jangkitan COVID-19 dilaporkan di negara itu.

Sementara itu, pihak lain menyifatkan kes paling buruk mungkin boleh mencapai sehingga lima juta di Jakarta menjelang penghujung April ini,

"Kita sudah tidak dapat mengawal, ia sudah tersebar ke merata tempat. Kita mungkin akan jadi seperti Wuhan dan Itali dan kita berada pada tahap itu," kata ahli ekonomi kesihatan awam, Ascobat Gani.

"Kerajaan menyatakan impak berkenaan tidak akan teruk. Kita tidak mahu jadi seperti di Itali dan China. Apa yang penting ialah menyatukan rakyat dengan menjarakkan mereka buat masa ini," kata Pegawai Kanan Kementerian Kesihatan, Achmad Yurianto.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) melaporkan pada tahun 2017, Indonesia mempunyai empat doktor untuk 10,000 orang, Itali lebih 10 kali ganda berdasarkan perkapita dan Korea Selatan pula enam kali ganda lebih doktor.

Yurianti berkata, dengan langkah pengasingan sosial, tiada keperluan untuk tambahan katil di hospital, manakala pakar epidemiologi dari University of Indonesia, Budi Waryanto berkata hospital tidak bersedia untuk menyokong sebarang kes berpotensi kerana rawatan sangat terhad.

Biarpun hanya sejumlah yang dimasukkan ke hospital kerana COVID-19, tetapi kebanyakan hospital kekurangan kelengkapan yang mana ada doktor terpaksa menggunakan baju hujan memandangkan tidak mencukupi dan sehingga kini seramai lapan doktor dan seorang jururawat meninggal dunia menurut Persatuan Doktor Indonesia.

Dalam pada itu, kakitangan di pinggiran Jakarta tidak digalakkan untuk datang bekerja berikutan kekurangan peralatan.

Kerajaan turut menyatakan sebanyak 175,000 set kelengkapan keselamatan untuk petugas hospital akan diedarkan dan sebuah hospital kecemasan yang boleh merawat 24,000 pesakit akan dibuka, selain petugas perubatan dijanjikan bonus dan 500,000 kit ujian akan tiba dari China. - REUTERS

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X