Rabu, 1 April 2020 | 12:40pm
Petugas menunjukkan unit rawatan rapi hospital medan di Milan, Itali selepas perintah berkurung di negara berkenaan susulan wabak COVID-19. Foto AFP
Petugas menunjukkan unit rawatan rapi hospital medan di Milan, Itali selepas perintah berkurung di negara berkenaan susulan wabak COVID-19. Foto AFP

COVID-19: Tindakan hantar pesakit positif ke rumah orang tua seperti bom biologi

ROM: Doktor dan kesatuan sekerja di Itali memberi amaran bahawa tindakan kerajaan menghantar pesakit yang dibenarkan keluar dari hospital tetapi masih positif COVID-19 untuk ditempatkan di rumah jagaan, umpama bob biologi yang sedang menunggu untuk meletup.

Dengan lebih 28,000 orang di hospital, termasuk lebih 4,000 sedang dirawat dalam Unit Rawatan Rapi (ICU), kemudahan seperti katil perlu dikosongkan seberapa segera yang mungkin.

Selain itu, pesakit yang tidak dapat dipulihkan dalam tempoh pengasingan di rumah akan dipindahkan ke rumah jagaan orang tua atau hotel seperti ketetapan pihak berkuasa.

Wabak yang sudah membunuh ribuan manusia itu kini sedang menyusup masuk ke kemudahan tempat tinggal merentasi negara, sehingga digelar pembunuhan senyap beramai-ramai.

Di bandar Bergamo sahaja, lebih 600 orang sedang bergelut antara hidup dan mati akibat dijangkiti wabak berkenaan.

Pakar mendedahkan, masih ramai mangsa yang disyaki positif COVID-19 belum diuji.

Situasi itu mencetuskan kebimbangan serius sehingga ada pihak menyuarakan perkara itu kerana keselamatan 300,000 orang di 7,000 rumah jagaan orang tua di Itali terancam.

“Dalam peperangan seperti ini, kita tidak boleh dedahkan diri sendiri terhadap bahaya wabak berulang kali, sehingga berisiko menukar rumah penjagaan menjadi bom biologi yang sedang menunggu tersebar.

“Penggunaan katil di rumah jagaan untuk mengurangkan kesesakan di hospital ... langkah itu hanya meletakkan orang tua dalam risiko dan golongan itu paling lemah jika berdepan wabak ini,” kata Ketua Masyarakat Geriatrik Itali SIGG, Raffaele Antonelli Incalzi.

Sebahagian daripada 2,000 pesakit sudah dipindahkan ke rumah jagaan orang tua di Lombardy, iaitu pusat wabak COVID-19 di negara itu.

Bandar Marche yang terletak di tengah Itali dan Sicily di sebelah selatan, mula mengikut langkah itu.

Berita Harian X