Isnin, 14 Mei 2018 | 12:57pm
SITI dan Khai ketika proses rakaman single Cinta Syurga yang diubah daripada rakaman asal Comel Pipi Merah dalam bentuk zikir. - Foto Ihsan Siti Nurhaliza Productions
SITI dan Khai ketika proses rakaman single Cinta Syurga yang diubah daripada rakaman asal Comel Pipi Merah dalam bentuk zikir. - Foto Ihsan Siti Nurhaliza Productions

Siti Nurhaliza, Khai Bahar berduet

KUALA LUMPUR: Teka-teka pasangan duet Datuk Seri Siti Nurhaliza terjawab apabila Khai Bahar diumumkan gandingan penyanyi tersohor itu dalam single Cinta Syurga.

Menjelaskan kerjasama itu, Siti memberitahu, lagu Cinta Syurga adalah versi baharu single Comel Pipi Merah dalam bentuk zikir.

"Kita ubah liriknya untuk disesuaikan mengikut konsep zikir. Single ini akan mula dipromosikan sempena Ramadan ini," katanya.

Sebelum ini, Siti melancarkan single Comel Pipi Merah yang dirakam istimewa sempena kelahiran puteri tercinta, Siti Aafiyah Khalid.

Siti berkata, dia turut mendapatkan anggota kumpulan nasyid UNIC, Bazli bekerjasama dalam projek itu.

"Bazli bertindak sebagai penyanyi latar dan menjaga vokal serta sebutan kami dalam lagu berkenaan," katanya.

Ditanya mengenai pemilihan Khai sebagai teman duet, Siti menjelaskan:

"Saya pilih Khai kerana jenis dan mutu vokalnya.

"Selain itu, kita turut menimbang faktor populariti dimiliki Khai selain kemampuannya mengalun zikir dengan baik," katanya sambil menambah single yang diterbitkan Szewan Kenobi itu dirakam mereka pada 8 Mei lalu.

Tambah Siti, peminat boleh melanggan single Cinta Syurga melalui platform digital, tidak lama lagi.

"Video klip lirik lagu itu juga akan dipromosikan tak lama lagi," katanya sambil menyatakan dendangan terbaru itu diterbitkan syarikatnya sendiri, Siti Nurhaliza Productions (SNP).

Semalam, Siti merasmikan butik Creacion & SimplySiti by Siti Nurhaliza di Melawati Mall, di sini iaitu penampilan pertamanya di khalayak ramai selepas melahirkan Aafiyah.

Berita Harian X