Rabu, 8 Ogos 2018 | 2:19pm
SAZZY cari naskhah yang memberinya kepuasan sebagai pelakon. Foto: Saifulizan Tamadi

Sazzy letak tepi soal bayaran

KUALA LUMPUR: Menyepi bukan kerana tiada tawaran, sebaliknya pelakon bertubuh kecil molek, Sazzy Falak meletakkan kepuasan sebagai perkara utama sebelum bersedia memberikan komitmen terhadap dunia lakonan.

Sazzy, 38, berkata dia masih didatangi pelbagai tawaran, namun hanya segelintir yang diterima kerana mahu mencabar diri, selari dengan kematangan usia pembabitannya.

"Kerjaya lakonan saya bermula di pentas teater. Minat itu sudah bercambah sejak usia muda, membuatkan saya sentiasa berusaha mencabar kemampuan diri.

"Saya kini berlakon bukan semata-mata kerana bayaran, sebaliknya lebih kepada kepuasan diri. Saya juga akan pastikan, karya yang dilakonkan mempunyai mesej untuk disampaikan kepada penonton," katanya yang bakal muncul dalam drama terbaru, Mimpi Sumi siaran ntv7.

Sinonim dengan watak Shasha yang dilakonkan dalam filem, Gol & Gincu, Sazzy berkata, naskhah itu meninggalkan nostalgia tersendiri dalam kerjaya seninya.

Menerusi filem pertamanya itu, Sazzy yang juga isteri kepada perunding kewangan, Nazril Idrus dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-19 pada 2006.

Hampir 12 tahun berlalu, ibu kepada kembar, Tiara Rose dan Iman Lily, 7, itu mengakui, teruja apabila dapat kembali melakonkan watak itu.

"Rindu sebenarnya untuk kembali membawa watak itu, apatah lagi karakter Shasha turut menjulang bakat saya hingga meraih pengiktirafan. Apabila ditawarkan berlakon dalam sekuel filem itu, sukar untuk saya menepis.

"Naskhahnya juga menarik, selain tawaran itu datang tepat pada masanya. Mungkin dulu Shasha agak nakal, tetapi untuk sekuel ini, peminat dapat melihat sisi berbeza dirinya," kata Sazzy mengenai filem yang selesai penggambaran, Februari lalu.

Filem arahan Umi Salwana Omar terbitan Redcom Films itu masih mengekalkan Sharifah Amani dalam barisan utama, selain menampilkan muka baharu seperti Datin Diana Danielle, Ummi Nazeera, Aedy Ashraf dan Syafiq Kyle.

Berita Harian X