Ahad, 7 Oktober 2018 | 2:21pm
FARA Hezel bersama ibu dan bapa pada majlis konvokesyen di Politeknik Sultan Azlan Shah hari ini.

Saya berjaya berkat doa ibu, bapa - Fara Hezel

KUALA LUMPUR: Selepas empat tahun bekerja keras, penyanyi, Fara Hezel, hari ini menamatkan pengajian Diploma Pemasaran di Politeknik Sultan Azlan Shah, Behrang, Perak.

Kata kakak kepada bintang remaja, Aiman Tino itu, kejayaan melunaskan pengajian dianggap hadiah paling manis buat dirinya.

“Teruja bercampur gembira kerana akhirnya dapat sampai ke tahap ini. Kepenatan dan pergelutan yang dilalui memberi 1,001 hikmah tersendiri.

“Ia juga hadiah paling berharga untuk ibu dan ayah saya. Berkat doa mereka juga, saya berjaya melepasi fasa ini,” katanya kepada BH Online.

Menurut Fara lagi, selepas ini dia berhasrat melanjutkan pengajian di ASWARA pula bagi peringkat ijazah.

“Insya-Allah saya ingin teroka bidang muzik klasikal pula selepas ini,” katanya.

Dalam pada itu peserta Big Stage ini juga berhasrat mencuba nasib dalam bidang pengacaraan selain terus menyanyi.

“Sekali pun gagal menyerlah dalam pertandingan itu, ia bukan titik noktah untuk kerjaya seni. Saya akan terus berjuang, termasuk cuba mengintai ruang menjadi pengacara,” katanya.

Fara kini baru muncul dengan single ketiganya, Ku Pasrah.

Berita Harian X