Isnin, 11 March 2019 | 4:41pm
Que Haidar seru penggiat seni supaya mendidik penonton hargai bakat, bukan memikirkan keuntungan semata-mata. Foto Nurul Shafina Jemenon

'Didik penonton hargai bakat, bukan sibuk buat duit'

KUALA LUMPUR: Pelakon, Que Haidar terkesan dengan pendirian segelintir penggiat seni yang masih mementingkan paras rupa, berbanding bakat.

Que atau nama sebenarnya, Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 39, berkata kenyataan itu mencerminkan pemikiran mereka yang masih di belakang, sedangkan industri memerlukan bakat untuk meneruskan legasi.

Pelakon filem Rock dan Ophillia itu berkata, anak seni sejati seharusnya bersama-sama menjalankan tanggungjawab sosial dengan mendidik penonton menghargai bakat dan bukan hanya sibuk ‘buat’ duit.

“Mungkin beliau lupa, pada zaman sekarang, rupa paras juga boleh digilap dan (tetapi) akan ditelan usia. Setiap hari ada muka baharu yang muncul, tetapi bakat dan ilmu akan terus kekal walaupun dimamah usia.

“Kita sudah memasuki 2019, masih ada lagi orang dalam industri yang berfikiran sebegini. Kita sepatutnya mendidik khalayak supaya lebih dulu menghargai seni dan bakat.

“Ini tanggungjawab kita terhadap masyarakat, bukan sekadar sibuk buat duit. Memalukan. Sila hadam,” katanya menerusi satu perkongsian di laman sosial.

Que berkata demikian sebagai mengulas kenyataan penerbit, Datuk A Aida mengenai komennya terhadap prestasi peserta yang menghadiri sesi uji bakat Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2019, semalam.

A Aida dalam kenyataannya, menasihatkan peserta yang tidak mempunyai paras rupa dan pakej menarik supaya jangan buang masa menghadiri uji bakat kerana mereka tidak akan terpilih.

Kenyataan Que menarik perhatian pengikutnya yang rata-rata bersetuju apabila terlalu memberi keutamaan kepada paras rupa, industri seni bertambah teruk dengan lambakan pelakon ‘kayu’.

Sementara itu, pelakon berpengalaman, Fauziah Ahmad Daud turut membidas kenyataan A Aida apabila memuat naik gambar bintang Hollywood, Samuel L Jackson yang tiada rupa, tetapi antara bintang yang mendapat bayaran paling tinggi.

Berita Harian X