Khamis, 22 Ogos 2019 | 9:45am
Aishah tidak mahu keluarganya dikaitkan dengan kontroversi putus tunang dengan Syafie. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Usah kaitkan keluarga saya - Aishah Azman

KUALA LUMPUR: Pelakon, Aishah Azman menepis persepsi segelintir pihak konon keluarganya bermasalah selepas kisah putus tunang dengan Syafie Naswip, menjadi perbualan hangat.

Aishah menjelaskan, masyarakat tidak tahu situasi sebenar dan tidak patut mengaitkan keluarganya di sebalik kontroversi yang timbul.

"Apa yang berlaku tiada kena mengena dengan keluarga saya atau ada sangkut paut dengan kontroversi yang melanda abang saya sebelum ini.

"Dia (Syafie) ‘angkat tangan’ kepada saya pun bukanlah berpunca daripada keluarga, sebaliknya isu antara kami.

"Saya sedang menunggu laporan lanjut daripada pihak polis. Jadi kita tunggu hasil siasatan. Sehubungan itu, saya memilih untuk tidak mengulas lebih lanjut mengenai kontroversi itu," katanya kepada BH Online.

Aishah ditemui pada tayangan perdana filem Sangkar di sini, malam tadi. Namun, sesi temu bual terhenti apabila tangan pelakon drama Namaku Bedah itu direntap

abangnya, Afiq Muiz.


Pengarah, Kabir Bhatia bersama barisan pelakon filem Sangkar pada tayangan perdana filem itu di [email protected], Mutiara Damansara, malam tadi. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Sebelum ini, dunia hiburan dihebohkan dengan berita mengenai seorang pelakon lelaki yang ditahan polis selepas membelasah bekas tunangnya kerana berang apabila wanita itu memintanya memutuskan hubungan songsang dengan kenalannya, pada 26 Jun lalu.

Syafie dan Aishah mengikat pertunangan dalam majlis mewah dan meriah pada 7 April lalu. Mereka sepatutnya bernikah akhir tahun ini.

Syafie dan Aishah berkenalan ketika mereka membintangi sebuah drama pada 2017.


Syafie Naswip bersama Aishah pada majlis pertunangan mereka pada 7 April lalu. Mereka sepatutnya bernikah akhir tahun ini. - NSTP/Rohanis Shukri

Aishah berkata, perhatiannya buat masa ini lebih tertumpu kepada kerjaya.

"Kerjaya lebih penting. Saya tidak trauma untuk bercinta, namun, bukanlah dalam tempoh terdekat.

"Saya belum terfikir untuk mencari pasangan hidup... Biarlah masa yang menentukan,” katanya.

Berita Harian X