Selasa, 8 Oktober 2019 | 4:12pm
Alha bersyukur kek perkahwinannya yang tumbang pada majlis resepsi, Ahad lalu, tidak menghempap tetamu. Foto Aziah Azmee

'Kek tumbang bukan gimik'

KUALA LUMPUR: Usahawan kosmetik, Datuk Alha Alfa menafikan insiden kek kaca lapan tingkat bernilai RM5,000 yang tumbang pada majlis resepsi perkahwinan di sini, Ahad lalu, adalah gimik bagi menjadikan acara berkenaan viral.

Alha berkata, apa yang berlaku, seperti video yang dikongsinya di Instagram, adalah tidak diduga.

“Mengikut perancangan awal, kek itu mahu diletakkan di bahagian tengah pentas utama dan berpusing sepanjang majlis berlangsung.

“Namun, disebabkan beberapa perkara, kek itu diletakkan di suatu sudut. Cuma hendak dijadikan cerita, ketika tetamu dan kakitangan naik ke pentas untuk bergambar dengan saya dan isteri, kek itu tumbang dengan tiba-tiba,” katanya kepada BH Online.

Ahad lalu, Alha dan isteri, Datin Noor Azlin Ismail meraikan tetamu termasuk sanak-saudara dan selebriti di majlis resepsi di Dewan Perkasa, Wisma Perwira, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), di sini.

Dihias indah umpama alam kayangan, pelamin bernilai RM500,000 itu turut menempatkan kek kaca setinggi lapan tingkat yang menjadi tumpuan ramai.

Alha atau nama sebenarnya, Datuk Abdul Al Halim Mohd Al Fadzil bersyukur kek itu tidak menghempap tetamu kerana ketika kejadian, ramai sudah pulang.

“Mujur tiada orang di belakang kek itu... Saya anggap tiada rezeki. Tidak mengapa, kes boleh diganti dan dicari yang baharu.

“Insiden itu menjadi kenangan buat saya dan isteri selama-lamanya,” katanya sambil menambah tapak yang kurang kukuh mungkin menjadi punca kek berkenaan tumbang.

Alha yang juga penaja utama Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 bagaimanapun gembira perancang majlis, Nas Great Idea Weddings berjaya merealisasikan impian mendapatkan kek perkahwinan dihajati.

“Saya minta maaf atas apa yang terjadi dan kalau ada kekurangan ketika majlis berlangsung. Saya dan isteri amat menghargai semua tetamu,” katanya.

Mengenai perancangan berbulan madu, Alha, 31, belum memutuskannya.

“Selepas ini, saya akan terbabit dengan rakaman program dunia solekan di beberapa lokasi di luar negara. Mungkin ketika itulah saya selit masa untuk berbulan madu dengan isteri.

“Antara lokasi penggambaran adalah Paris, Jakarta dan Seoul,” katanya yang menikahi Noor Azlin di Taiping, Perak pada 28 September lalu.

Berita Harian X