Selasa, 19 November 2019 | 2:02pm
Fizz mengaku dirinya sangat realistik dalam isu bayaran berlakon. Fizz merangkul trofi Pelakon Lelaki Terbaik Drama Rantaian pada ASK 2019 pada 1 November lalu. Foto NSTP Nurul Syazana Rose Razman

Jangan buat andaian sendiri - Fizz Fairuz

KUALA LUMPUR: ‘Tak fahamlah... Kenapa tak tanya saya?’

Itu persoalan dibangkitkan Datuk Fizz Fairuz yang sebelum ini dilaporkan sudah tiga bulan tidak mendapat tawaran berlakon.

Rupa-rupanya, selepas berita itu tular, penerima trofi Pelakon Lelaki Terbaik Drama Rantaian, Anugerah Skrin (ASK) 2019 ini dihujani panggilan daripada pengarah dan penerbit yang berminat menawarkannya berlakon.

Fizz berkata, kebanyakan individu yang menawarkan dirinya ‘job’ menyangka dia sibuk dengan projek penggambaran drama dan filem.

“Alhamdulillah... Ada penerbit dan pengarah bertanya benarkah saya tidak ada tawaran berlakon. Mereka beritahu setiap kali bertanya mengenai saya, saya dikatakan sibuk dengan penggambaran.

“Saya dapat tahu, ada juga yang beritahu konon saya sudah naik ‘harga’, lagi-lagi selepas menang trofi ASK 2019.

“Saya tak faham kenapa orang yang bertanya tidak bercakap terus dengan saya? Kemudian buat andaian sendiri pula,” katanya kepada BH Online.

Minggu lalu, Almy memuat naik foto Fizz sedang menonton televisyen (TV) di Instagram, diiringi keterangan gambar bahawa suaminya sudah tiga bulan tidak berlakon.

Almy mendakwa, segelintir syarikat produksi seolah-olah tidak berani mengambil Fizz berlakon kerana bayarannya terlalu mahal.

Perkongsian itu mendapat perhatian ramai termasuk rakan artis seperti Nad Zainal dan Emelda Rosmila yang meninggalkan komen.

Fizz berkata, sejak dahulu lagi, biarpun sudah memenangi pelbagai trofi, dia sangat fleksibel mengenai kadar bayaran.

Tambahnya, dia bersikap terbuka dan tidak pernah meletak harga melebihi RM3,000 bagi setiap episod.

“Selama saya menang anugerah, nilai bayaran masih sama. Saya adalah anak seni yang bertimbang rasa. Tidak pernah lagi saya letak kadar RM3,000 bagi satu episod.

“Terpulang kepada budi bicara penerbit. Jika mereka menawarkan harga yang terlalu rendah, saya akan minta naik sikit,” katanya.

Namun, kata Fizz, dia tidak faham kenapa pelakon baharu dibayar dengan kadar harga tinggi.

“Benar pelakon terbabit ada pengikut yang ramai di laman sosial, tetapi hasilnya ‘kayu’ (lakonan kaku),” katanya.

Fizz bagaimanapun bersikap positif berdepan situasi kurang ditawarkan peluang berlakon.

“Mungkin Allah mahu saya berehat, buat perkara lain dan meluangkan masa lebih lama dengan keluarga.” katanya yang masih sibuk dengan tawaran menjadi pengacara majlis dan tugasan lain.

Berita Harian X