Ahad, 24 November 2019 | 1:03pm
PELAKON, Rita Rudaini. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

'Anak saya trauma seluar dilondeh'

KUALA LUMPUR: Pelakon, Rita Rudaini Mokhtar, mendakwa anak sulungnya, Airit Rayyan Rizqin, 10, menjadi mangsa buli rakan sekelas sejak darjah satu.

Bagaimanapun, katanya, kejadian seluar Rayyan dilondehkan di kawasan terbuka ketika waktu rehat, baru-baru ini, dianggap melampau dan kurang ajar.

“Kejadian terbabit berlaku sebelum cuti penggal persekolahan, baru-baru ini. Selesai peperiksaan, Rayyan tidak mahu lagi ke sekolah. Dia malu dan trauma akibat perbuatan seorang rakan sekelas yang melondehkan seluarnya sehingga paras kaki di hadapan khalayak.

“Secara kebetulan, Rayyan tidak memakai seluar dalam dan baju pula singkat. Jadi, bayangkanlah apabila dibogelkan di hadapan pelajar lelaki dan perempuan.

“Rayyan pulang ke rumah menangis teresak-esak akibat terlalu malu,” dakwa pelakon terbabit.

Rita juga mendakwa, perbuatan buli bukan perkara baharu kerana sebelum ini Rayyan sering dibaling dengan sesuatu, tangan dipulas, jaket dipijak dan pelbagai lagi perbuatan sejak darjah satu.

RITA bersama dua anaknya, Airit Rayyan Rizqin (kanan) dan Airit Qaqa Arjuna. - NSTP/Rosela Ismail

Katanya, dia bagaimanapun hanya menasihatkan anaknya agar tidak ambil pusing dan melaporkan perkara itu kepada guru.

“Saya tahu sangat perangai Rayyan. Dia seorang pendiam dan takut. Apa sahaja yang berlaku, dia takkan bertindak agresif.

“Selalunya, saya akan menghubungi guru kelas, meminta beliau menasihatkan pelajar yang suka membuli Rayyan. Begitupun, saya tidak boleh berdiam diri dengan perbuatan melondeh seluar anak saya di khalayak ramai.

“Saya ada menghubungi guru kelas supaya memberitahu ibu bapa pelajar terbabit mengenai sikap anaknya yang boleh dianggap seperti ‘gangguan seksual,” dakwanya.

Pelakon filem Mami Jarum dan Cinta itu kesal ibu pelajar berkenaan hanya menghubunginya selepas dia memuat naik status dalam laman Instagram, kelmarin.

“Ibu pelajar berkenaan tidak percaya anaknya membuli Rayyan. Rasanya, tidak perlulah kami bergaduh... Pasti ada cara terbaik untuk menyelesaikan masalah anak-anak.

“Saya akan bertemu ibu dan pelajar itu secara berdepan, bersama beberapa saksi yang melihat kejadian berkenaan, dalam masa terdekat ini,” katanya.

Berita Harian X