X
Isnin, 13 Julai 2020 | 7:02pm
Aleesya turut bersedih dengan berita perpisahan bapanya dan bekas isteri. Foto IG Erra Fazira
Aleesya turut bersedih dengan berita perpisahan bapanya dan bekas isteri. Foto IG Erra Fazira

Saya tak campur hal rumah tangga mereka - Erra Fazira

KUALA LUMPUR: "Saya tak campur hal rumah tangga mereka." Itu jawapan aktres jelita, Erra Fazira ketika diminta mengulas berita perceraian bekas suami, Engku Emran Engku Zainal Abidin dengan Laudya Cynthia Bella yang hangat diperkatakan, baru-baru ini.

Biarpun mengaku tahu pergolakan antara mereka pada peringkat awal, Erra bagaimanapun mendakwa, tidak tahu dengan mendalam masalah yang terjadi.

"Mereka tidak pernah bercerita dengan mendalam. Tipulah saya tidak tahu pergolakan yang berlaku.

"Walaupun dia bekas suami dan bapa kepada anak, saya tak mahu korek (bertanya lanjut). Cukup tahu sikit-sikit pada peringkat permukaan. Saya tidak pernah tanya kenapa, apatah lagi mengorek lebih lanjut.

"Sebagai wanita, kami ada berbicara melalui teks (mesej) tetapi hanya perkara-perkara umum sahaja, tidak begitu terperinci.

Erra ketika hadir pada majlis pengumuman pelantikan dirinya sebagai duta produk penjagaan rambut, Faith Fleur di ibu negara, hari ini. Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
Erra ketika hadir pada majlis pengumuman pelantikan dirinya sebagai duta produk penjagaan rambut, Faith Fleur di ibu negara, hari ini. Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim

"Bella tidak bercerita lebih kepada saya. Memang kami rapat, tapi tidaklah selalu berhubung," katanya ketika ditemui selepas majlis pelantikan dirinya sebagai duta produk penjagaan rambut, Faith Fleur, di sini, hari ini.

Pada 1 Julai lalu, desas-desus keretakan rumah tangga Engku Emran dan Laudya terjawab selepas bintang Indonesia itu mengaku mereka sudah berpisah.

Memetik laporan agensi berita Indonesia, Laudya membuat pengakuan bercerai dengan Engku Emran ketika ditemuramah portal berita, Insertlive.com di republik itu.

Kompas.com melaporkan, Bella mengaku bercerai secara baik-baik dengan Engku Emran

Erra percaya apa yang terjadi antara Engku Emran dan Laudya ada hikmah tersendiri.

"Dalam setiap pahit, ada hikmah dan manisnya. Allah uji kerana sayang. Ada ganjarannya... Bersabar sahaja," katanya.

Erra berkata, anak perempuannya, Engku Aleesya turut berduka dengan berita perceraian bapanya.

"Saya sedar Aleesya sedih dengan berita itu. Dia pun sayang Bella. Saya percaya bapanya pun bersedih dengan apa yang berlaku," katanya.

Sementara itu, Erra bersyukur pada usia 46 tahun, dia masih mendapat kepercayaan syarikat pengeluar produk yang melantiknya sebagai duta.

"Saya percaya rezeki tak salah alamat. Saya amat bersyukur dengan nikmat rezeki yang Allah panjangkan. Soal aktif atau tidak termasuk persaingan dengan artis generasi baharu, semuanya subjektif.

"Untuk masih dipandang relevan hingga diberi kesempatan menjadi wakil jenama produk, saya berterima kasih kepada mereka yang beri kepercayaan," katanya.

Pemenang trofi Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) sebanyak tujuh kali sejak 1994 ini menambah, ketika ini, dia hanya memenuhi komitmen sebagai pengacara.

"Saya masih mengacara untuk program Mingguan Wanita musim kedua. Kerja lakonan semuanya dapat diselesaikan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

"Jika ada tawaran berlakon yang kena dengan waktu dan sesuai, saya sedia menimbangkannya. Selebihnya, masa saya banyak diluangkan bersama anak di rumah," katanya.

Berita Harian X