Jumaat, 9 Februari 2018 | 8:01am
- Gambar hiasan

Bunuh diri, sakit jiwa boleh dicegah

Gejala bunuh diri dalam kalangan masyarakat Malaysia kini semakin menjadi-jadi. Hampir setiap hari ada saja kisah yang didedahkan tidak kira di media sosial mahupun arus perdana. Antara kes terbaru yang dilapor membabitkan graduan di Bachok, Kelantan, seorang lelaki di Johor Bahru dan seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah di Pulau Pinang. Jelas sekali gejala yang berlaku tanpa mengira bangsa ini tidak lagi boleh dipandang remeh. Sesuatu perlu dilakukan segera bagi membendungnya daripada terus berleluasa.

Umumnya, bunuh diri juga ketara di seluruh dunia. Laporan terbaru Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan hampir 800,000 individu kehilangan nyawa akibat bunuh diri setiap tahun di seluruh dunia (satu nyawa pada setiap 40 saat, kadar bunuh diri global sama 11 orang bagi setiap 100,000 penduduk). Ia boleh berlaku pada bila-bila masa dan menjadi punca kematian yang kedua tertinggi bagi mereka yang berumur antara 15 hingga 29 tahun. Lebih menakutkan ialah anggaran bahawa bagi setiap seorang individu yang mati akibat bunuh diri, ada 20 orang lagi yang cuba untuk membunuh diri.

Di Malaysia, kajian oleh Pusat Daftar Bunuh Diri Kebangsaan 2009 menunjukkan kadar bunuh diri masih lagi rendah (1.18 bagi setiap 100,000 penduduk). Kaum India mempunyai kadar yang tertinggi (3.67: 100,000), diikuti Cina (2.44 : 100,000) dan Melayu (0.32 : 100,000). Namun begitu, ramai pakar berpendapat jumlah sebenar jauh lebih tinggi. Anggarannya, hampir 2,500 kes bunuh diri setiap tahun atau secara puratanya tujuh kes setiap hari. Kajian yang sama turut merekodkan bahawa menggantung diri cara paling popular untuk membunuh diri, diikuti oleh pengambilan racun serangga dan terjun dari tempat yang tinggi.

Alami kemurungan

Jika dilihat secara global, hampir 90 peratus individu yang membunuh diri mempunyai masalah mental pada saat sebelum kematian dan 60 peratus daripada mereka mengalami kemurungan. Walaupun bukan setiap pesakit yang mengalami kemurungan berniat untuk membunuh diri, ramai dalam kalangan mereka didapati sudah lama bergelut dengan masalah itu. Kaum wanita amnya, lebih kerap dilanda kemurungan berbanding lelaki. Malangnya, lelaki mempunyai empat kali ganda lebih tinggi kebarangkalian untuk mengambil nyawa mereka sendiri, apabila mengalami kecelaruan yang sama.

Pada masa ini, apa yang lebih membimbangkan ialah kecenderungan individu untuk membunuh diri secara gerak hati atau tanpa berfikir panjang, terutama ketika berdepan dengan sesuatu krisis dalam kehidupan seharian. Banyak laporan yang menunjukkan ia terjadi apabila individu berkenaan gagal atau berasa tidak mampu untuk menangani tekanan atau stres yang dialami seperti masalah kewangan, malu, putus cinta, penceraian dan sebagainya. Mungkin tiba masanya, kemahiran menguruskan stres dan menyelesai masalah dijadikan komponen penting dalam pendidikan negara. Pengetahuan sedemikian boleh membantu individu untuk menghadapi dugaan dan cabaran yang mendatang. Bunuh diri tentunya tidak lagi menjadi pilihan jika stres mampu diurus dan ditangani dengan berkesan.

Gejala boleh dicegah

Gejala membunuh diri sebenarnya boleh dicegah dan dibanteras. Namun, ia memerlukan usaha yang gigih daripada semua pihak. Antara langkah utama ialah menghapuskan stigma dalam kalangan masyarakat terhadap penyakit mental dan gejala bunuh diri itu sendiri. Ramai dalam kalangan mereka yang mempunyai masalah jiwa di negara ini enggan mendapat rawatan daripada pakar yang bertauliah. Bomoh dan perubatan tradisional menjadi pilihan utama. Hanya apabila keadaan sudah menjadi tidak terkawal, barulah terkejar-kejar membawa pesakit ke hospital.

Kita juga perlu lebih serius dalam mendengar luahan hati ahli keluarga, saudara terdekat atau sahabat handai mengenai keinginan untuk membunuh diri. Kerap kali, rintihan mereka tidak dipeduli atau hanya dianggap sebagai satu gurauan. Bila berlaku kematian, ramai yang menangis dengan seribu kekesalan.

Kepentingan menjaga kesihatan mental harus diperkasa. Ramai dalam kalangan kita yang sanggup menghabiskan ribuan ringgit untuk membeli pelbagai produk kesihatan, serta menjalani bermacam-macam ujian, imbasan dan sebagainya bagi memastikan fizikal kita berada pada tahap yang optimum. Namun, hanya sebahagian kecil sanggup berjumpa pakar yang bertauliah bagi memastikan mental kita juga berada pada tahap yang sama.

Pakar jiwa di hospital kerajaan sering diperlekeh dan dipersenda. Individu yang ingin berjumpa mereka turut menerima nasib yang sama, malah kerap kali dilabel sebagai orang gila. Pesakit yang mengambil ubat-ubatan dan rawatan disisih, dikeji dan dipandang hina. Bukan sahaja orang awam yang melakukannya, malah kakitangan perubatan sendiri turut berkongsi persepsi yang sama. Inilah antara punca individu yang mempunyai masalah jiwa enggan tampil bagi mendapat rawatan yang diperlukan.

Keadaan yang sama berlaku di hospital swasta. Lebih mendukacitakan, hampir semua syarikat insurans perubatan di negara ini tidak mengiktiraf gangguan jiwa sebagai penyakit kritikal yang perlu dirawat dan diubati. Anda boleh mendapat rawatan dan ujian bernilai ribuan ringgit untuk mengubati penyakit jantung atau gastrik, tetapi sebut sahaja kemungkinan wujudnya gangguan jiwa, secara automatik anda akan digugurkan daripada perlindungan mereka.

Usahkan gangguan jiwa yang lebih serius, rawatan untuk gejala berkaitan stres turut menerima nasib yang sama. Jika anda perlukan rawatan sebegini, bersedialah untuk membayar dengan duit poket sendiri. Walaupun seluruh dunia mengiktiraf gangguan jiwa atau penyakit mental sebagai penyakit yang perlu diubati, namun di Malaysia, ia masih belum menjadi keutamaan untuk diberi rawatan.

Kita semua berharap tragedi yang berlaku kebelakangan ini tidak dilupakan begitu sahaja. Kesihatan mental perlu diberi perhatian yang lebih serius oleh pihak yang berwajib. Jangan dibiarkan ia hilang dari ingatan tanpa inisiatif yang berkesan untuk memastikan perkara yang sama tidak berulang pada masa depan. Pendekatan proaktif harus diutamakan berbanding tindakan reaktif, atau jangka pendek yang lazimnya, tidak mampu membawa sebarang perubahan.

Penulis adalah Pakar Perunding Psikiatri & Psikologi, Kedah Medical Centre

Berita Harian X