Jumaat, 11 Disember 2015 | 8:34pm

Isteri pertama Ashraf Muslim lahirkan anak lelaki


GAMBAR anak Ashraf Muslim yang dimuat naik di dalam laman Instagramnya. - Foto ihsan Instagram Ashraf Muslim

KUALA LUMPUR: Isteri pertama Ashraf Muslim, Noor Dayana Lokman, semalam, selamat melahirkan anak sulung hasil perkongsian hidup mereka yang dibina hampir lima tahun lalu.

Bayi lelaki yang belum diberi nama itu dilahirkan secara pembedahan pada jam 2.58 petang di Hospital Kuala Lumpur.

Bayi lelaki itu adalah anak ketiga Ashraf. Dua anak terdahulu, Sarah Ashraf, berusia satu tahun lapan bulan dan Adam Ashraf, tiga bulan, hasil perkahwinan dengan isteri keduanya, Wan Sakinah Ahmad Subari.

"Saya gembira dengan kelahirannya biarpun saya berada dalam keadaan tak sihat selepas mengerjakan umrah. Kehadiran cahaya mata baharu ini ternyata menggembirakan saya dan isteri.

"Ini masa yang ditunggu-tunggu kami. Saya selalu cakap kepada isteri, setiap apa yang terjadi bersebab. Biar isteri pertama perlu menunggu lama untuk dapat anak, semua ini menguji kita sebagai hamba-Nya.

"Tak semua yang kita mahu, akan dapat serta-merta dan begitulah sebaliknya. Tetapi kita hamba-Nya tak boleh putus berdoa dan berusaha kerana Tuhan Maha Mendengar.

"Soal anak ini berbalik kepada soal cepat atau lambat. Semua ini kerja-Nya. Apabila Tuhan beri nikmat itu sekarang, Dayana kena terus jadi isteri dan ibu yang terbaik," kata penerbit syarikat Al Hidayah Productions Sdn Bhd itu.

Kata Ashraf, Dayana tak kekok dengan tugas baharunya itu kerana turut membantu menguruskan dua anak madunya.

"Dia sudah biasa menjaga dan mendidik anak Sakinah. Jadi memang tak ada masalah," katanya yang turut membintangi drama Kemboja Di Hati itu.

Berita Harian X