Khamis, 24 March 2016 | 7:01am

Penulis skrip lebih dirundung malang

PENULIS Skrip, Maizura Ederis. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
PENULIS Skrip, Maizura Ederis. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

BUKAN hanya pengarang saja berdepan isu hak, perjanjian dan perlindungan karya dalam konteks adaptasi, penulis skrip juga lebih dirundung malang untuk hidup sekiranya mendalami senario industri drama serta filem mutakhir.

Ini kerana penulis skrip terpaksa memuaskan hati dua entiti penting dalam industri, iaitu syarikat produksi drama atau filem dan stesen televisyen sebelum dapat menyaksikan karya mereka dipilih.

Golongan itu bukan saja perlu berusaha keras dalam menggarap idea terutama kekuatan dialog, gambaran audio dan visual bagi sesebuah drama atau filem tetapi kurang diberi perhatian, bahkan hak mereka dipandang remeh.

Mereka mendakwa tahap kesedaran yang masih rendah dalam kalangan pemain industri menyebabkan kredibiliti penulis skrip sebagai tulang belakang sesebuah drama atau filem terus terpinggir sehingga peranan mereka lebih 'dibayangi' oleh populariti pelakon yang menjayakannya.

Penulis skrip yang juga novelis, Siti Jasmina Ibrahim, berkata sebahagian besar kelompok penulis khususnya novelis sebenarnya lebih beruntung kerana ada pihak yang melindungi hak dan kebajikan mereka.

"Novelis lebih beruntung kerana kebanyakan penerbit buku menganggap mereka sebagai aset, sekali gus sentiasa memastikan hak dan pembelaan dilindungi.

"Penulis skrip walaupun menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan, masih tidak diberikan perhatian oleh mana-mana pihak untuk memastikan hak kami tidak terancam termasuklah dalam soal bayaran dan hak karya asal.

"Walaupun ada pihak persatuan yang cuba membantu seperti Persatuan Penulis Lakon Layar Kuala Lumpur dan Selangor (PENULIS), usaha untuk membina kesedaran penggiat industri secara keseluruhan masih sukar kerana masih ramai penulis skrip yang tidak bersatu," katanya kepada Sastera BH di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Lebih dikesali, kata Siti Jasmina, apabila ada penulis skrip baharu yang menawarkan bayaran lebih rendah daripada kadar biasa sehingga seakan-akan menutup periuk nasi penulis lama untuk mendapat tawaran yang baik daripada produksi.

 PENULIS Skrip, Siti Jasmina Ibrahim. - Foto Halimaton Saadiah bte Sulaiman
PENULIS Skrip, Siti Jasmina Ibrahim. - Foto Halimaton Saadiah bte Sulaiman

"Contohnya untuk satu skrip, saya meminta harga RM5,000 daripada produksi tetapi ada sesetengah penulis skrip baharu yang menawarkan harga jauh lebih rendah.

"Sesetengah produksi dengan mudahnya akan menawarkan kerja kepada mereka, sekali gus penat-lelah penulis yang berusaha memperjuangkan hak bagi mendapatkan bayaran setimpal bukan saja tidak berbaloi, bahkan turut hilang mata pencarian," katanya.

Beliau menambah, penulisan skrip sebenarnya lebih rumit berbanding menulis karya sastera khususnya bagi memindahkan teks prosa ke dalam bentuk dialog dan perlu membayangkan duduk di atas kerusi pengarah.

"Bagaimanapun, orang yang menonton drama atau filem mungkin menyangka proses menghasilkan skrip mudah dengan hanya melihat kepada perjalanan cerita yang dianggap ringan.

"Sebab itu ada penonton yang menganggap drama Melayu sebagai membosankan dan klise yang mungkin disebabkan unsur visualnya gagal menangkap perasaan yang cuba ditonjolkan dalam watak," katanya.

Sementara itu, penulis skrip berpengalaman, Maizurah Ederis tidak menafikan perjanjian yang bersifat berat sebelah antara syarikat penerbitan drama atau filem dengan penulis skrip perlu diberi perhatian secara serius.

"Syarikat produksi drama atau filem kebiasaannya akan menyediakan dokumen perjanjian dan bergantung kepada kebijaksanaan penulis skrip sendiri untuk berunding mengenai terma secara terperinci.

"Umpamanya bagi sebuah skrip, penulis dibayar dengan harga RM5,000 dengan diletakkan klausa draf skrip perlu dibuat berulang kali sehingga pelanggan, iaitu stesen televisyen berpuas hati.

"Maksudnya bayaran diberikan mengikut spesifikasi ditentukan oleh mereka saja dengan penulis skrip perlu akur jika stesen televisyen ingin melakukan rombakan kepada jalan cerita sehingga kami terpaksa menulis semula berkali-kali tanpa bayaran tambahan," katanya yang juga mantan Naib Presiden PENULIS.

Katanya, lebih parah ada syarikat produksi yang membayar penulis skrip hanya apabila keseluruhan skrip disiapkan, sekali gus menjejaskan penulis skrip sepenuh masa.

"Biasanya pihak produksi perlu memberikan pendahuluan sebanyak 30 peratus sebelum penulis skrip mula menulis, manakala 30 peratus lagi selepas selesai draf pertama dan selebihnya dibayar selepas selesai rombakan skrip serta semua pihak berpuas hati.

"Bagaimanapun ada penerbit yang menetapkan tempoh pembayaran hanya selepas draf terakhir siap, sekali gus menyukarkan penulis skrip khususnya bagi projek drama bersiri, apatah lagi mereka yang tiada sumber pendapatan lain," katanya yang menghasilkan skrip drama popular seperti Nur Kasih, Tangisan Bulan Madu dan Nora Elena.

Pada masa sama, Maizurah berkata, senario adaptasi novel popular ke dalam bentuk drama dan filem turut meninggalkan impak tersendiri apabila pihak produksi serta stesen televisyen mula mengabaikan kualiti skrip kerana percaya tema popular sebagai jalan mudah untuk meraih rating tinggi apabila disiarkan.

"Sikap yang lebih mementingkan aspek komersial menyebabkan mereka tidak peduli kepentingan skrip berkualiti, sekali gus cenderung memilih penulis skrip yang boleh menyiapkan kerjanya dalam masa singkat dan akur dengan bayaran rendah.

"Bagi mereka, jual rupa dan populariti pelakon serta menghidangkan kandungan ringan yang klise terutama kisah cinta yang diangkat daripada novel popular sudah cukup kuat untuk menarik minat penonton.

"Bagaimanapun, saya tidak menolak ada sebahagian skrip membabitkan karya adaptasi yang berkualiti walaupun tema cerita agak klise kerana kebanyakan penulis skrip tidak mampu menolak atas dasar ia adalah mata pencarian utama mereka," katanya.

Beliau turut meminta penulis skrip tempatan lebih berani dalam menyuarakan hak terutama dalam meletakkan harga yang setimpal dengan keringat yang dicurahkan.

Berita Harian X