Selasa, 19 April 2016 | 12:27am
PELAKON, Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
RUHAINIES dan Fatah Amin pada majlis tayangan episod akhir Hello Mr Perfect di Pitching Centre, Platinum Sentral, KL Sentral. - Foto Salhani Ibrahim
RUHAINIES tidak pernah bercita-cita untuk menjadi pelakon atau mengejar glamor. - Foto Zunnur Al Shafiq
(DARI kiri), Didie Alias, Feeya Iskandar, Mira Filza, DJ Lin, Ifa Radziah dan Ruhainies bergambar dengan motosikal tajaanDemak sebagai hadiah untuk pembaca pada majlis pengumuman Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 29.

Populariti Ruhanies mencanak umpama ekspres

TIDAK sampai setahun dirinya secara rasmi memasuki gelanggang seni, nama Ruhanies tidak syak antara yang kerap meniti bibir peminat ketika ini.

Selepas diumumkan sebagai pemenang trofi Antagonis Pilihan pada Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2016 (DFKL 2016) pada Mac lalu, namanya disenaraikan pula sebagai calon akhir kategori Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 29 yang akan mencapai kemuncaknya pada 8 Mei depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Populariti diraih pelakon yang nama sebenarnya, Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 24, dalam dunia hiburan tanah air, sememangnya boleh dianggap kejayaan 'ekspres'.

Anak kelahiran Sungai Petani, Kedah ini percaya watak antagonis yang dipegangnya dalam drama, Hello Mr Perfect, antara pembuka mata orang ramai terhadap kemampuan dan kewujudan dirinya dalam persada seni.


RUHAINIES bakal muncul dengan drama Bagaikan Kelip-Kelip bersama Shahrizal Jaszle dan Ben Amir menerusi slot Azalea di TV3 tidak lama lagi. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Dalam drama terbabit, dia diberikan tiga watak, masing-masing bernama Ain, Alya dan EL. Ia barangkali tanggung jawab cukup berat buat bakat yang begitu baru dan hijau sepertinya.

Ruhainies sendiri mengaku, watak Ain mengerahkan segala keringat yang ada pada dirinya kerana memerlukan dia menampakkan sisi garang, seksi dan selalu mengamuk. Manakala sebagai Alya dirinya harus kelihatan lebih lemah-lembut dan EL pula bersifat kental seperti lelaki.

"Sampai sekarang saya masih tidak percaya dengan kemenangan pada DFKL 2016 dan pencalonan hingga ke peringkat Top 5 di ABPBH 29 yang diraih dalam masa singkat.

"Saya begitupun menerima rezeki ini dengan penuh kesyukuran. Ia bukan petanda saya perlu mendabik dada, sebaliknya menjadi pembakar semangat untuk terus memberikan yang terbaik pada masa akan datang.

"Impak Hello Mr Perfect tidak boleh saya nafikan. Saya dibenci kerana watak Ain. Ketika drama ini bersiaran pun, saya terima komen daripada peminat mengatakan watak terbabit sangat menjadi," katanya yang turut berbangga apabila kakaknya, Nur Risteena Munim, melekat sama sebagai finalis ABPBH 29 dalam kategori Pelakon Filem Wanita Popular.


RUHAINIES akan terbang ke Bali, Indonesia bagi menjayakan penggembaraan filem pertamanya, Surf This Love. - Foto Zunnur Al Shafiq

Ruhainies, yang bakal muncul dengan drama Bagaikan Kelip-Kelip bersama Shahrizal Jaszle dan Ben Amir menerusi slot Azalea di TV3 tidak lama lagi berkata, percubaan sulungnya untuk serius berlakon nampaknya turut membuka lebih banyak pintu rezeki buatnya.

"Sejujurnya saya tidak pernah bercita-cita untuk menjadi pelakon atau mengejar glamor. Semuanya berlaku secara kebetulan. Apa yang saya lalui kini, hanya mengikut aliran dan apa yang sudah dibentangkan di depan mata. Tidak disangka, rezeki saya dalam lakonan semakin murah.

"Asalnya, saya lebih minat menceburi dunia perniagaan. Kalau tidak berlakon sekalipun saya memang cenderung ke arah berniaga. Saya sendiri sejak beberapa bulan lalu turut menjual produk kolagen sendiri di bawah label Ruhainies Rosysecret.

"Tawaran berlakon telefilem Sopeah Jin sekitar September 2014 pun saya terima sekadar untuk mengisi masa lapang. Kebetulan pula ketika itu cuti semester. Kakak saya yang sebenarnya dirisik oleh syarikat produksi pada masa berkenaan. Bagaimanapun, waktu itu saya belum serius untuk menjadikannya sebagai kerjaya," ujarnya yang hanya memegang watak pembantu dalam produk terbitan Zeel Production itu.

Menurut Ruhainies yang akan terbang ke Bali, Indonesia, pada 20 April ini bagi menjayakan penggambaran filem pertamanya, Surf This Love, beliau menganggap dunia lakonan sebagai rezeki terpijak.


PEMENANG trofi Antagonis Pilihan pada Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2016 (DFKL 2016), Ruhanies. - Foto Adi Safri

Langsung tidak mempunyai asas lakonan, lulusan Diploma Pengurusan Pelancongan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Pulau Pinang ini kini cuba mengasah bakatnya dengan cara tersendiri.

"Saya banyak belajar di set penggambaran. Saya belajar dengan memerhati cara lakonan pelakon lebih berpengalaman, termasuk mendengar nasihat dan tips daripada pengarah.

"Saya percaya, masih jauh perjalanan saya dalam dunia seni dan saya ambil kesempatan ini untuk menggilap bakat serta menimba pengalaman selagi terdaya," katanya yang menamatkan pengajian peringkat diploma pada 2014.

Berita Harian X