Rabu, 24 Ogos 2016 | 5:21pm

Farid enggan baca novel diangkat ke layar lebar


FARID Kamil pada sidang media Filem Tombiruo di Rooftop Avenue One. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR: Aktor Farid Kamil berpegang dengan pendirian untuk tidak membaca novel yang bakal diangkat ke layar lebar bagi mengelakkan dirinya dibayangi watak dalam naskhah asal.

Farid, 33, berkata beliau menggunakan pendekatan untuk tidak terlalu mengikut karakter dalam novel kerana menganggap ia sebagai dua perkara yang berbeza.

"Sejak membintangi Lagenda Budak Setan lagi saya memilih untuk tidak membaca novel kerana enggan terlalu terikut watak yang ditulis dalam buku. Saya memilih untuk menjadikan skrip sebagai rujukan dan mendapat bimbingan daripada pengarah.

"Karakter novel mempunyai peminat mereka tersendiri. Sekiranya terlalu mengikut watak menerusi pembacaan, saya takut tidak dapat menghidupkan watak itu mengikut jangkaan mereka," katanya.

Selain Lagenda Budak Setan, Farid juga membintangi sebuah lagi filem yang diadaptasi daripada novel, Tombiruo.

"Saya berbangga dan bersyukur menjadi sebahagian daripada filem Tombiruo kerana amat meminati karya Ramlee Awang Murshid. Malah, saya ada berjumpa dengan penulis bagi mendapat pandangannya mengenai watak Amiruddin yang ditawarkan kepada saya," katanya.

Selain Farid, filem terbitan Astro Shaw itu turut dibintangi oleh Zul Ariffin, Nabila Huda, Faizal Hussein dan Hasnul Rahmat.

Sudah memasuki minggu keempat penggambaran, filem ini diarahkan oleh Nasir Jani dan Seth Larney.

Berita Harian X