Jumaat, 6 Januari 2017 | 9:01pm

Awie dapat Datuk


VOKALIS Wings, Awie dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk sempena ulang tahun keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, yang ke-86 bagi tahun 2017.

KUALA LUMPUR: Vokalis Wings, Awie dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk sempena ulang tahun keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, yang ke-86 bagi tahun 2017.

Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 48, berkata penghargaan yang diberikan adalah permulaan yang baik sempena menyambut tahun baharu dan rezeki selepas mendirikan rumah tangga pada hujung tahun lalu.

"Alhamdulillah. Hanya lafaz kesyukuran yang dapat saya ungkapkan ketika ini. Pada masa sama, tiada apa yang berubah, saya masih Awie yang sama dan mencari rezeki di atas pentas sebagai anak seni.

"Penghargaan yang diberikan ini bagaimanapun tentunya diharap dapat membuka lebaran lebih indah untuk tahun baharu memandangkan saya melalui pelbagai cabaran pada 2016.

"Bukan saja berperanan sebagai penyeri kepada keluarga, saya menganggap rezeki ini datang dengan berkat kehadiran isteri saya. Doakan yang baik-baik saja buat saya sekeluarga," katanya kepada BH Online.

Awie mendirikan rumah tangga bersama Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin, 30, pada 7 Oktober lalu dalam sebuah majlis tertutup yang hanya dihadiri oleh keluarga dan sahabat terdekat.

Selain itu, Awie berkongsi, beliau diberikan penghargaan berganda apabila dipilih sebagai seorang daripada tokoh NGO Islam Kebangsaan oleh Tengku Mahkota Kelantan pada 14 Januari ini.

Berita Harian X