Sabtu, 18 Februari 2017 | 10:03pm

Hentikan provokasi tak berfakta RUU 355

 

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, menggesa semua pihak menghentikan provokasi terhadap pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355).

Katanya, provokasi yang dilakukan tanpa berlandaskan fakta itu tidak mendatangkan sebarang kebaikan, sebaliknya menimbulkan pelbagai fitnah yang mengeruhkan keadaan.

"Saya harap semua pihak bertindaklah atas fakta yang betul, bukan mengelirukan ummah dan rakyat, sebaliknya jadilah jurubicara kepada mereka untuk menjernihkan segala fitnah yang dilemparkan terhadap RUU 355.

"Kami, penganut agama Islam hanya mahu mengamalkan ajaran agama kami, menegakkan syariat yang juga sebahagian daripada akidah dan syahadah yang kami ucapkan, serta ini juga termasuk dalam perintah Allah," katanya ketika berucap pada Himpunan RUU 355 di Padang Merbuk di sini, malam ini.

Beliau adalah antara lebih 20 individu dan tokoh yang dijemput berucap pada himpunan itu yang turut menampilkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Al-Bakri.

 


Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Berita Harian X